Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong tidak terlepas daripada menjadi mangsa fitnah pembangkang dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini apabila dia didakwa memiliki status pemaustautin tetap, Australia.

Sebaliknya Siew Keong yang mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkan fitnah itu berniat jahat serta bertujuan mencalarkan reputasinya sekali gus menjejaskan peluang menang pada PRU ini.

Menurutnya dakwaan bahawa memiliki status pemastautin tetap Australia sudah pun bertebaran di media-media sosial sehingga mendorongnya membuat laporan polis di Pejabat Polis Daerah Teluk Intan pagi tadi.

Beliau meminta calon lawannya di Parlimen Teluk Intan supaya menghentikan taktik kotor di saat akhir berkempen untuk meraih undi.

“Ini satu fitnah dan cubaan pihak tertentu untuk mencemarkan reputasi, menghakis keyakinan pengundi-pengundi di Teluk Intan supaya ia dapat menjejaskan peluang saya untuk menang.

“Saya telah buat laporan polis pada hari ini dan saya berhak mengambil tindakan-tindakan yang bersesuaian termasuk undang-undang yang wajar untuk melindungi diri saya daripada menjadi mangsa fitnah,” katanya dalam satu sidang media khas di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Teluk Intan, di sini hari ini.

Siew Keong menegaskan Malaysia khususnya Teluk Intan sentiasa menjadi rumahnya sejak dulu, akan datang dan selamanya.

Beliau menjangkakan banyak lagi fitnah dan tohmahan yang akan timbul dalam tempoh 48 jam berkempen ini berikutan calon-calon pembangkang akan berusaha keras untuk menumbangkan calon BN dengan pelbagai cara.

“Nasihat saya, tak perlulah kita gunakan cara tak elok untuk menewaskan calon dari parti lawan," katanya.