Susulan penularan sekeping gambar yang memaparkan beliau bersama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Ahad tampil membuat penjelasan.

Menurut Timbalan Presiden PKR itu, kedua-dua mereka bersama keluarga masing-masing "terserempak" dengan Anggota Parlimen Sembrong ketika bercuti di Maghribi baru-baru ini.

"Saya tidak bercuti dengan Hishammuddin, cuma terserempak dengan beliau di Morocco (Maghribi).

"I met many Malaysians there (Saya ketemu ramai orang Malaysia di sana), tak jadi isupun."

Menurutnya, tiada sebarang perbincangan politik diadakan ketika itu dan meminta masyarakat umum supaya berfikiran lebih terbuka dalam hal ini, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kunci kepada penghuni sebuah pangsapuri baharu di sini hari ini.

Beliau menarik perhatian bahawa hubungannya dengan bekas naib presiden UMNO itu telah bermula puluhan tahun dulu.

"Malah semasa saya pembangkang pun saya hadir perkahwinan anak beliau."

Ia mencetuskan pelbagai tanda tanya terutama spekulasi mengenai kerjasama politik antara Mohamed Azmin dan Hishammuddin.

"Kita perlu lebih civilised (bertamadun), jangan ingat bila jumpa mesti ada perbincangan politik. Untuk kebaikan negara kita perlu baik dengan semua orang," kata Mohamed Azmin.