”Tunggu dan lihat dulu. Saya belum nak komen tentang tu”.

Itu yang terkeluar dari bibir bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, apabila diajukan soalan apa yang akan dibuat sekiranya namanya digugurkan sebagai calon dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau yang ditemui di kediamannya di Kijal, Kemaman masih belum bersedia berkongsi untung nasibnya dalam politik dengan media.

“Dalam mana-mana parti politik pun ada masalah. Tetapi janganlah terlalu berpolitik sangat. Saya sudah katakan dahulu, kalau saya tidak pentingkan parti habislah.

"Kita ada perasaan, maruah dan saya terlibat dalam politik sejak umur 18 tahun. Saya sudah menjadi ketua cawangan di kampung saya ni," katanya.

Dengan terus terang beliau menjelaskan sayangnya pada UMNO tidak pernah berbelah bahagi malah semangat perjuangannya bagi parti Melayu itu tidak pernah luntur walaupun ujian hebat pernah dilaluinya.

“Dia macam kita bergaduh antara suami isterilah. Walaupun mungkin ada sampai peringkat kita marah dan hilang sabar tetapi sayang tu tetap ada," jelasnya.


Beliau juga ditanya apakah sebab tertentu yang membuatkan beliau kembali meneruskan perjuangan partinya berbanding sebelum ini yang dilihat lebih cenderung untuk mengkritik kepimpinan yang ada.

Adakah beliau pernah dijanjikan sesuatu atau menerima habuan tertentu?

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya tidak terima sebarang habuan walaupun pernah ditawarkan. Saya cakap terus terang, kalau saya nak kaya saya dah boleh kaya!

"Sebab itu saya berani dedahkan penyata bank saya ketika saya turun jadi Menteri Besar. Beritahu saya mana Menteri Besar yang ada 'overdraft' beratus ribu selepas turun? Sebab itu saya tidak takut," jawabnya.

Ditanya hubungan dengan rakan politik UMNO Terengganu ketika yang pernah menentang dan ditentangnya, beliau menjelaskan perbezaan itu sentiasa ada malah menganggapnya ia adalah lumrah berpolitik.

“Saya tidak ada masalah dan tidak bermusuh. Jika mereka mahu bermusuh dengan saya itu terpulang kepada mereka. Saya jenis yang terus terang, kalau tidak betul saya akan cakap ia tidak betul. Saya senang dan mudah.

“Saya sudah kata dari dulu, kalau saya mahu musnahkan parti dan kepimpinan yang ada saya sudah boleh buat dari dahulu lagi.

"Saya tidak perlu pertolongan orang lain atau bawa usul undi tidak percaya dalam dewan. Cukup dengan saya keluar parti dan kita akan lihat kedudukan akan jadi 16-16. Kerajaan Negeri tentunya tidak akan mampu berfungsi. Tetapi saya mahu hantar mesej dan biar mereka berfikir sejenak,” jelasnya ketika menyentuh tindakkannya yang mencetuskan perbalahan yang kritikal dalam UMNO satu ketika dahulu.

Menjelang PRU14 ini tanpa berselindung beliau mahu semua rakyat Terengganu terus memberi mandat dan kuasa kepada Barisan Nasional dan mahu melihat pembangunan berterusan berlaku di negeri itu.

Beliau juga turut diminta memberi penjelasan mengenai krisis yang sentiasa berlaku membabitkan istana dan kerajaan negeri.

“Sebenarnya tidak pernah timbul masalah sama ada Istana campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri ketika saya Menteri Besar. Istana juga tidak campur tangan dalam urusan politik.

"Masa sekarang saya tidak tahu dan tidak mahu komen. Ia adalah tugas Menteri Besar untuk menjelaskan segala perancangan yang hendak dilakukan membabitkan pembangunan negeri kepada Ke Bawah Duli Tuanku,” katanya sebelum menutup perbualan bersama krew Astro AWANI.