Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk S K Devamany menolak usul undi tidak percaya terhadap dirinya selepas dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang pada Rabu.

Usul itu dikemukakan ketua whip pembangkang, Datuk Ngeh Koo Ham atas dakwaan penyalahgunaan kuasa susulan tindakan menggantung ADUN Aulong, Leong Thye Yih.

Ia ditolak selepas Devamany membenarkan Dewan membahaskan usul itu kira-kira sejam sejurus persidangan bermula jam 10 pagi.

Ketika menolak usul tersebut, Devamany menegaskan penggantungan Leong oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikannya dibuat mengikut prosedur seperti mana termaktub dalam Perintah Tetap 36 (5) dan 36(10).

“Saya nak tegaskan di sini sebagai ahli seorang Yang Dipertua dalam Dewan, saya bertanggungjawab bukan kepada Barisan Nasional dan kerajaan sahaja, saya juga perlu menjaga kepentingan ahli-ahli yang berhormat bagi pihak pembangkang.

“Saya akan pastikan bahawa mereka mendapat keadilan dan mereka dijaga kepentingan supaya nama mereka tidak tercemar dan kepentingan mereka tidak tercabul,” katanya kepada pemberita.

Devamany menolak dakwaan Ngeh bahawa terdapat pelanggaran peraturan dalam keputusan tersebut kerana kes ADUN Aulong telah melalui empat kali perbicaraan sejak 3 Disember lalu.

Katanya, tindakan menggantung Leong dibuat atas sikap Leong sendiri yang enggan hadir perbicaraan, manakala keputusan menggantung bayaran elaun selama sebulan adalah kerana sikap degilnya yang memandang kes terhadap beliau sebagai tidak serius.

Berikutan penggantungan pada 8 April lalu, Leong tidak dibenarkan menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan negeri selain tidak akan menerima bayaran gaji dan elaun-elaun bagi tempoh sebulan.

ADUN pembangkang negeri Perak pada Selasa secara sepakat telah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Devamany.

Ngeh berkata ia berikutan tindakan Devamany melarang Leow daripada menyertai persidangan DUN kali ini.

Jelasnya, menurut Perintah Tetap 78 (2), mana-mana perkara yang diputuskan jawatankuasa tersebut patut dibawa kepada perhatian Dewan Negeri dan tidak diumumkan kepada orang ramai.