Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan ‘serangan’ dipercayai oleh penyokong Barisan Nasional (BN) terhadapnya adalah kerana beliau memasuki kawasan BN.

Katanya, ketika itu proses penamaan calon sudah pun selesai dan polis trafik telah pun membuka lalu lintas untuk orang ramai bersurai.

Berikut ialah transkrip penuh jawapan beliau:

“That’s not true, sebab itu tengok kat video siapa datang. Kalau tengok dekat video tu, sudah habis penamaan calon, semua pun tengah bersurai. Lepas itu, polis pun dah benarkan lalu lintas kereta, kereta dah lalu.

"Saya guna jalan paling kiri, tak ada provok apa. Dia terus, mula-mula mereka kutuk, itu biasalah, jerit-jerit itu biasa. Tapi sampai kejar, terjah kepada saya, pergi lawan lalu lintas kereta untuk serbu saya, it’s wrong. Terang-terang salah.

"Walhal ada juga beberapa pimpinan Barisan Nasional/UMNO yang masuk penamaan calon, lalu juga di tempat kita di Pakatan Harapan, tapi tak ada pun kita nak buat benda ni, nak buat fizikal. Dan bab ini biar polis siasat dan biar siasatan itu telus."

Syed Saddiq sebelum ini membuat laporan polis berhubung cubaan mencederakan dirinya oleh sekumpulan penyokong pembangkang selepas tamat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pagi tadi.

Laporan dibuat kira-kira jam 2.30 petang tadi di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya.

Katanya beberapa penyokong pembangkang menyerbu ke arah beliau dan salah seorang daripada mereka (Papa Gomo) memegang bahu serta mencekak leher Ketua Pemuda Bersatu.

Dakwaaan itu bagaimanapun dinafikan Wan Muhammad Azri Wan Deris yang lebih dikenali sebagai Papa Gomo menerusi akaun Twitternya.

Dakwanya tindakan mengunci leher Syed Saddiq dengan lengan adalah bagi melindungi menteri muda itu.

BACA: Syed Saddiq buat laporan polis, dakwa 'dicekik' Papagomo

BACA: 'Kalau saya tahu jadi macam ni saya cium dia tadi' - Papagomo

BACA: Ketika yang muda bergaduh, yang tua tunjuk politik matang