Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan khabar angin kononnya beliau akan keluar parti berkenaan.

Tegas Mohamed Azmin, adalah satu yang tidak masuk akal apabila beliau mahu meninggalkan PKR yang ketika ini telah mempunyai kuasa dalam Kerajaan Persekutuan.

Justeru, katanya, khabar angin itu disifatkan tidak berasas dan sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu selain berharap agar anggota parti PKR tidak terpengaruh dengan dakwaan itu.

"Nama pun khabar angin, macam mana saya nak respon sebab tu saya katakan jangan terpengaruh dengan cerita seperti ini. Ia satu tohmahan tidak berasas," katanya.

Ahli Parlimen Gombak itu mengulas mengenai khabar angin kononnya beliau akan bertindak drastik dengan keluar parti sekiranya mereka tewas pada pemilihan parti kali ini.