Tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berdolak-dalik dalam merungkai krisis air di Selangor disindir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata tindakan Ahli Parlimen Gombak itu seolah-olah takut dengan bayang bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Contoh dia mudah, macam YB Kinabatangan (Datuk Seri Bung Moktar) nak pinang anak Kota Belud (Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan), tetapi minta saya tentukan berapa banyak hantaran untuk diberikan?

"Bagus saya kahwin sendiri daripada nak tentukan orang punya hantaran, itu gila punya otak. Ini (Mohamed Azmin) tiada tulang belakang untuk tentukan sebut harga," katanya yang menyebabkan rata-rata ahli dewan ketawa.

Jelasnya, kerajaan mungkin menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2005 (Akta 655) sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan krisis bekalan air di Selangor.

Tindakan itu bagi memastikan semua aset dan pengurusan dikendalikan kerajaan.

"Jika situasi ini berlarutan, kerajaan akan lihat opsyen yang ada daripada segi perundangan, termasuk meneliti balik Akta 655.

"Bagaimanapun, saya harap akan ada 'willing buyer, willing seller' supaya kita tidak perlu gunakan Akta 655," katanya ketika menjawab soalan tambahan Abdul Khalid (Bebas-Bandar Tun Razak) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Khalid yang meminta perincian kerajaan mengenai kemungkinan menggunakan kuasa perundangan menerusi Akta 655 untuk menyelesaikan krisis air di Selangor yang sehingga kini tiada penghujung.

Pertimbangan itu katanya perlu dilaksanakan secepat mungkin selepas kerajaan memperuntukkan RM6.65 bilion sebagai pemudah cara terhadap usaha penstrukturan semula bekalan air Selangor, selain mengelakkan risiko pembayaran faedah yang tinggi.

Maximus berkata, langkah pertama penstrukturan sehingga menyaksikan pengambilalihan tiga syarikat menerusi pinjaman daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bernilai RM1.8 bilion.