Pengerusi Alumni Kelab UMNO Luar Negara (AKULN) Wan Agyl Wan Hassan pada Sabtu menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu 30 Jun ini.

Wan Agyl menerusi surat terbuka kepada perwakilan Pemuda UMNO berkata beliau berbuat demikian agar dapat terus memperjuangkan serta memulihkan kepercayaan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Sebagai pengerusi AKULN yang keempat sejak penubuhannya pada 2000, saya amat menyedari kelemahan reputasi UMNO pada pandangan masyarakat hari ini.

"Sama ada perkara-perkara berbangkit itu mempunyai asas kebenaran ataupun fitnah semata-mata, ia tetap menjejaskan pendirian kita pada UMNO. Ia semua tiada erti jika kita masih tidak mempunyai sokongan rakyat," katanya dalam surat terbuka itu yang turut diterima Bernama pada Sabtu.

Jelas beliau, susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu, terdapat desakan daripada semua peringkat yang mahukan perubahan parti itu secara holistik.

"Saya sendiri turut mahukan perubahan demi kejayaan UMNO seperti sahabat semua. Bagaimanapun, terdapat segelintir daripada pemimpin UMNO di akar umbi dan peringkat tertinggi masih mahukan rentak lama dengan cara lama.

"Mereka juga masih mengamalkan kronisme dalam pendekatan politik ataupun dikatakan 'extreme partisanship'," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata ini adalah masa paling sesuai untuk parti itu untuk bangkit semula.

"Kami juga sudah muak dengan amalan 'partisanship' yang tidak memberi apa apa faedah melainkan memecah-belahkan kita kepada kelompok yang hanyalah untuk menjaga kepentingan mereka, dan nyatakan juga pada mereka, kita sudah benci pada korupsi, politik wang dan keangkuhan sesetengah pihak yang menggadaikan perjuangan asal demi kepentingan di dunia.

"Dengan, itu, saya memohon perwakilan semua agar dapat membantu seikhlasnya, usaha agenda pembaharuan saya sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia agar saya dapat menyampaikan dan menyempurnakan amanat ini," katanya.

-- BERNAMA