Tutup

Berita  | Sukan

Ayuh sokong Harimau Malaya!

Ayuh sokong Harimau Malaya!
Jika kemenangan berpihak kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe, ia bermakna pasukan negara akan menamatkan saingan di kedudukan kedua terbaik kumpulan. - Gambar Facebook@FAMalaysiaOfficial / Facebook@Indonesia-N
MALAYSIA dan Indonesia bakal merekodkan pertemuan ke-97 hari ini sejak pertembungan pertama mereka pada tahun 1957.

Perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang dijadual pada jam 8.45 malam ini sudah tentu menyaksikan saingan sengit di antara kedua-dua pasukan.

Berbekalkan kemenangan ketika menentang Thailand pada 14 November lalu, skuad Harimau Malaya pastinya mahu meneruskan rekod cemerlang di laman sendiri.

Sekiranya kemenangan berpihak kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe, ia bermakna pasukan negara akan menambah tiga lagi mata menjadikan sembilan mata keseluruhan dalam lima perlawanan setakat ini.
Kemenangan Harimau Malaya di laman sendiri malam ini akan mencerahkan peluang ke Pusingan Akhir Piala Asia 2023 di China.

Jika diukur dari segi konsistensi, kelebihan jelas berpihak kepada skuad negara yang mencatat keputusan positif dalam beberapa perlawanan sejak kebelakangan ini, sekali gus memberi bayangan Harimau Malaya jelas berkobar-kobar memburu satu lagi kemenangan.
BACA: Mat Yo sedia gegar gawang Indonesia

BACA: RapidKL lanjut perkhidmatan Stesen LRT Bukit Jalil sempena perlawanan Malaysia menentang Indonesia

BACA: Laris kencang! Tiket perlawanan Malaysia-Indonesia sudah habis dijual


Rekod Pertemuan

Sepanjang pertemuan antara kedua-dua pasukan, Indonesia telah mencatat 39 kemenangan manakala Malaysia dengan 35 kemenangan dan baki 21 perlawanan berkesudahan seri.

Malaysia mempunyai rekod buruk di Stadium Gelora Bung Karno apabila hanya mencatat empat kemenangan dalam 18 pertembungan.

Malaysia kini menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan kutipan enam mata, manakala Indonesia gagal meraih sebarang mata selepas empat perlawanan.

Selepas menentang Indonesia, Malaysia dijadualkan berdepan UAE di Dubai pada 26 Mac 2020, Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac 2020, sebelum menamatkan aksi pusingan kelayakan menentang Thailand pada 9 Jun 2020 di tempat lawan.

Malaysia atau Indonesia yang akan menang? Sama-sama kita nantikan!