KAPTEN skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara, Muhammad Adib Zainudin sedia berhijrah ke Thailand sekiranya mendapat tawaran untuk beraksi dengan mana-mana kelab liga utama di negara berkenaan.

Pemain pertahanan Felcra FC itu mengesahkan sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang tawaran bertulis daripada mana-mana kelab di Thailand yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya susulan prestasi cemerlang ditampilkannya ketika membantu Malaysia meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 201 (KL2017), bulan lepas.

"Jika perkara itu benar dan tawaran itu menarik, saya akan pergi ke sana kerana impian saya semestinya mahu beraksi dengan kelab luar negara terutamanya dalam mengembangkan karier bola sepak saya," katanya ketika ditemui pemberita pada klinik futsal remaja 2017 anjuran SZ Futsal Camp.

Laporan sebuah akhbar tempatan sebelum ini menyebut enam pemain muda negara iaitu Adam Nor Azlin (Selangor), Muhammad Adib dan N. Thanabalan (FELCRA FC), Syamer Kutty Abba dan Muhd Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang) serta pemain Pahang, Muhamad Nor Azam Abdul Azih diintai kelab dari Liga 1 Thailand selepas mempamerkan aksi memberangsangkan pada KL2017.

Dalam pada itu, Muhammad Adib mendedahkan beberapa kelab Liga Perdana dan Liga Super sekitar Lembah Klang berminat untuk mendapatkan khidmatnya namun tiada sebarang kata putus dicapai setakat ini.

"Jika ada tawaran, saya sedia mempertimbangkan tawaran tersebut," katanya yang mempunyai kontrak sehingga hujung tahun ini bersama Felcra FC.

-- BERNAMA