BERBEKALKAN tiga gol dibawa ke Stadium Etihad, Liverpool sepatutnya berada dalam kedudukan selesa untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Namun tiada jaminan dapat diberikan memandangkan Manchester City mempunyai barisan pemain yang mantap dan hampir kesemua pemain boleh menghasilkan gol.

Bagaimanapun City tidak boleh alpa dan perlu berwaspada dengan serangan balas Liverpool dalam usaha mencari gol bagi merapatkan kedudukan.

Liverpool berjaya mendapat lapan gol hasil serangan balas dalam Liga Perdana Inggeris (PL) musim ini, berbanding hanya tiga yang dicatat City, manakala Tottenham Hotspur di tempat kedua dengan tujuh gol.

Presiden kelab rasmi penyokong Liverpool, All Reds Malaysia, Muzili Aznor Musa berasa Liverpool tidak boleh leka dengan kelebihan gol yang ada.

“Lihat bagaimana City tewas dengan Manchester United walaupun sedang mendahului lawan dengan 2-0. Kedua-dua pasukan mempunyai barisan kesebelasan utama yang mempunyai kekuatan yang seimbang. Hanya kesilapan kecil boleh mengubah keputusan perlawanan,” kata Muzili.

Serangan balas menjadi kunci utama kejayaan Liverpool musim ini selain taktik ‘gegenpressing’ yang lebih berkesan musim ini berbanding musim lalu.

“City terkenal dengan corak menyerang pantas, namun dengan corak permainan terbuka seperti ini, ia akan memberi ruang juga buat Liverpool untuk menyerang balas. Jika Liverpool berjaya menambah satu lagi gol, City perlu mencari 5 gol untuk layak ke separuh akhir.” kata Muzili dalam satu perbualan menerusi aplikasi Whatsapp dengan Astro AWANI.

Tambah Muzili, kekuatan menyerang yang biasa digunakan oleh Liverpool akan digunakan seperti menunduk lawan lain sebelum ini.

Muzili juga berasa penjaring terbanyak PL Liverpool, Mohamed Salah akan diturunkan bagi mengkucar-kacirkan pertahanan City.

Salah menjaringkan gol pertama dalam perlawanan suku akhir pertama minggu lepas di Anfield terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua akibat kecederaan.

Penyerang Mesir itu direhatkan semasa perlawanan menentang Everton di Goodison Park Sabtu lepas, dimana perlawanan tamat 0-0.

Salah kemudian dilihat menjalani latihan penuh bersama skuad utama Liverpool semalam.

Ramalan Muzili, perlawanan akan tamat dengan keputusan 2-2 di Etihad dengan Liverpool layak ke separuh akhir dengan agregat 5-2.

Pengurus City, Pep Guardiola berjaya juga tidak mempunyai rekod yang baik dalam pusingan kalah mati UCL, selepas kalah dalam perlawanan pertama.

Guardiola hanya berjaya menang dua daripada tujuh perlawanan peringkat kalah mati selepas skuad bimbingannya tewas dalam perlawanan pertama.

Ia dilakukan semasa menentang Arsenal pada 2011 dengan Barcelona dan pada 2015 bersama Bayern Munich menentang Porto.

Perlawanan antara City dan Liverpool ini boleh ditonton di Astro Supersport saluran 816/834 HD esok, bermula 2:35 pagi.