PEMANGKU jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira harap pasukannya mampu mengambil peluang di sebalik aksi kurang konsisten Selangor menjelang pertemuan Liga Super di Selayang malam ini.

Meskipun turun sebagai pelawat, Pulau Pinang memasang impian untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Ditambah dengan persembahan kurang menjadi Selangor dalam saingan liga, ini masa terbaik untuk skuad Harimau Kumbang menghukum lawan.

“Walaupun kita nampak Selangor macam tidak konsisten, saya memberitahu pemain-pemain saya supaya mengekalkan fokus dan mengambil perlawanan malam ini dengan cukup serius supaya kita dapat membawa balik mata ke Pulau Pinang,” kata Manzoor.

Hanya kecederaan pemain import, Brent Griffiths meresahkan Manzoor namun beliau optimis pemain-pemainnya dapat mengulangi persembahan cemerlang ketika mengikat Kedah 2-2 sebelum ini.

Dalam pada itu, Manzoor mengakui berdepan tugas sukar untuk memastikan Pulau Pinang mampu berada dalam kelompok enam terbaik.

Ia bagi memastikan mereka mendapat undian selesa bagi peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Kelayakan ke Piala Malaysia akan ditentukan sebaik sahaja pusingan pertama Liga Super berakhir pertengahan Mei nanti.

“Kita akan cuba memastikan Pulau Pinang berada di dalam kelompok enam terbaik supaya kita berada dalam laluan yang cerah pada saingan Piala Malaysia nanti.

“Selain itu, kita akan cuba membuat penambahbaikan dalam pasukan supaya apabila kita bermain dalam dengan lebih baik daripada sekarang,” tambahnya.