ADIDAS telah menarik semula penjualan jersi bola sepak pasukan kebangsaan Jerman yang baharu kerana nombor 44 menunjukkan memiliki persamaan dengan logo unit separa tentera SS Parti Nazi.

Adidas semalam berhenti menawarkan jersi dengan nama dan nombor, dan Persekutuan Bola Sepak Jerman menghentikan penghantaran jersi dengan nombor 44 dari kedai dalam taliannya sendiri.

Badan induk bola sepak Jerman itu berkata ia sedang mencari reka bentuk alternatif untuk nombor 4 bersama rakan kongsinya, 11teamsports.

"Tiada mana-mana pihak yang terlibat melihat sebarang kedekatan dengan simbolisme Nazi dalam proses pembangunan reka bentuk jersi," kata persekutuan itu di X.

Tindakan menarik balik jersi dengan nombor 44 dibuat selepas ditunjukkan bahawa kedua-dua nombor itu bersama-sama menyerupai SS yang digunakan oleh kumpulan Schutzstaffel Parti Nazi.

Biasanya dikenali sebagai SS, ia termasuk unit polis, pasukan tempur dan lain-lain yang mengendalikan kem tahanan yang melakukan pembunuhan besar-besaran orang awam semasa Perang Dunia II.

Simbol SS diharamkan di Jerman hari ini.

Jurucakap Adidas, Oliver Brüggen, memberitahu agensi berita DPA bahawa persekutuan dan 11teamsports bertanggungjawab untuk reka bentuk nama dan nombor pada baju.

Adidas telah mengeluarkan jersi Jerman sejak tahun 1950-an.