"TOLONG lepaskan saya kali ini," itu rintihan Mohd Azrif Nasrulhaq yang meminta jasa baik pengurusan Selangor memberi lampu hijau kepadanya menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) berakhir.

"Peluang ini hanya datang sekali, selepas itu kita tidak tahu apa yang akan terjadi.

"Saya sudah berbincang dengan keluarga, saya harap Selangor dapat lepaskan saya untuk ke JDT," katanya.

Apa yang pasti, Azrif tidak mahu menunggu sehingga musim ini tamat untuk ke JDT pada musim depan.

Tegasnya, dia masih menghormati Selangor dan mahu berpisah dengan pasukannya dengan cara profesional.

Dia juga bersedia berbincang dengan pengurus Selangor, Amirudin Shari, berhubung nilai tebus kontrak yang berjumlah RM720,000.

"Belum ada apa-apa pertemuan... Saya pun sibuk fokus untuk pasukan kebangsaan dan latihan.

"Kalau tanya saya... saya mahu ke Johor, itu jawapan saya."

Azrif pada awal tahun ini mencetuskan kontroversi apabila hampir menandatangani kontrak dengan JDT dan sanggup menebus kontrak membabitkn nilai RM960,000.

Namun, Selangor menolak hasrat pemain berkenaan sebelum Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tampil memohon maaf di atas insiden terbabit.

Amirudin sebelum ini menegaskan bahawa Selangor tidak akan melepaskan Azrif pada pertengahan musim ini.