Skuad hoki lelaki negara bangkit daripada ketinggalan dan mengikat New Zealand 3-3 pada perlawanan ujian di Stadium Tun Razak di sini, hari ini.

Skuad 'Malaysian Tigers' yang agak leka pada suku terakhir perlawanan hampir dihukum oleh New Zealand yang turun dengan misi membalas dendam selepas dibelasah 8-2 pada perlawanan ujian pertama antara kedua-dua pasukan di venue sama semalam.

Skuad 'Black Sticks' membuka jaringan pada minit ke-19 menerusi gol pukulan sudut Sam Lane, sebelum Malaysia menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Marhan Jalil tiga minit kemudian melalui satu lagi pukulan sudut.

Malaysia yang menduduki ranking ke-14 dunia seterusnya mendahului apabila Mohammad Fitri Saari bijak meledak masuk gol padang pada minit ke-53, namun pasukan pelawat hanya memerlukan dua minit untuk kembali berada di hadapan dengan ketangkasan serangan balas.

Jaringan padang Stephen Jenness pada minit ke-54 membantu pasukan ranking kelapan dunia itu untuk menyamakan kedudukan, sebelum Nick Ross meletakkan pasukan itu di hadapan seminit kemudian.

Bagaimanapun, skuad Malaysian Tigers yang terus melakukan serangan bertali-arus, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-59 menerusi pukulan sudut Faizal Saari.

Ketua jurulatih Stephen Van Huizen berkata dua perlawanan ujian menentang pasukan itu memberi peluang kepadanya untuk menguji pasukan sebelum bertolak ke Ipoh untuk saingan Piala Sultan Azlan Shah 2017 bermula 29 April hingga 6 Mei ini.

"Kami tidak berada pada keadaan terbaik hari ini selepas merehatkan Razie Rahim yang mengalami kecederaan kecil hamstring dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang sudah mengesahkan tempatnya di dalam skuad ini. Kami bermula lambat tetapi mampu meningkatkan momentum dan mendapatkan penyamaan.

Kami perlu beraksi lebih baik dan mengurangkan beberapa kesilapan mudah dan individu sementara pukulan sudut penalti kami adalah baik. Selepas ini kami akan menumpukan usaha menyesuaikan diri dengan padang di Ipoh dan bermain di bawah lampu limpah kerana kami akan bermain di waktu malam," katanya.

Bekas pemain antarabangsa itu berkata perbincangan sedang dilakukan untuk mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang Australia sebelum membuka saingan Piala Sultan Azlan Shah menentang Jepun pada Sabtu ini.

Malaysia kemudian akan mengalami cabaran getir ke atas pasukan Australia yang menduduki ranking nombor dua dunia, diikuti oleh aksi keatas Great Britain (ketujuh), New Zealand dan India (keenam) pada kejohanan jemputan itu. -- BERNAMA