Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super selepas menang tipis 2-1 ke atas Perak pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam semalam.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan mengutip 45 mata, berkelebihan 11 mata berbanding pencabar terdekat, Kedah yang mencatat kemenangan selesa di laman sendiri, dengan empat baki perlawanan untuk ditamatkan.

Pada aksi di Larkin, pemain sayap Mohd Hafiz Kamal meletakkan Perak di hadapan menerusi sepakan percuma menarik pada masa kecederaan babak pertama perlawanan sebelum JDT bangkit meraih dua gol pada babak kedua menerusi Mohd Fadhli Mohd Shas pada minit ke-47 dan Mohamad Ghaddar pada minit ke-60.

Di Stadium Darul Aman, pasukan Kedah berpesta gol selepas membenam Kelantan 5-0.

Lima gol skuad Lang Merah dijaringkan oleh Mohamad Ariff Farhan Md Isa pada minit ketujuh, Ken Ilso Larsen (minit ke-47 dan minit ke-60) dan dua gol daripada Sandro da Silva Mendoca pada minit ke-70 dan minit ke-86.

Naib juara Piala FA 2017, Pahang pula kekal di tangga ketiga liga walaupun kalah mengejut 0-2 kepada pasukan tercorot liga, Pulau Pinang pada aksi di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Dua gol skuad Harimau Kumbang dijaringkan oleh Mark Andrew Hartmann pada minit ketujuh dan Sanna Nyassi pada minit ke-64.

Felda United pula naik dua anak tangga ke kedudukan keempat liga selepas mengalahkan Selangor 3-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Tiga gol skuad 'The Fighters' dijaringkan oleh Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-40, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi (minit ke-43) dan Muhd Shukor Adan pada minit ke-75 manakala Selangor meraih gol saguhati menerusi penyerang mereka, Francis Forkey Doe pada minit ke-47.

Kelab PKNS FC pula meneruskan rentak kemenangan setelah menundukkan wakil kelab Terengganu, T-Team 2-1 pada aksi di Stadium Shah Alam.

Dua gol skuad Semut Merah dijaringkan oleh Mohd Alif Haikal Mohd Sabri pada minit ke-35 dan Nizam Abu Bakar pada minit ke-42 sebelum Asrol Ibrahim mengurangkan defisit jaringan untuk T-Team pada minit ke-66.

Melaka United pula kembali meraih kemenangan setelah menewaskan Sarawak 4-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Sarawak bagaimanapun berada di hadapan menerusi jaringan menerusi Mateo Roskam pada minit ke-23 dan Tommy Mawat Bada pada minit ke-28.

Pasukan tuan rumah tidak berputus asa dan bangkit melakar empat gol menerusi Jeon Woo Young pada minit ke-30, Mohd Fauzi Rozlan (minit ke-34), R. Surendran (minit ke-39) dan Felipe de Almeida Sousa pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

-- BERNAMA