Jepun dilaporkan menyertai Mesyuarat Sukan Menteri-Menteri Asean untuk pertama kali, di Nay Pyi Taw, Myamnar.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan berkata, pertemuan itu diadakan bagi bertukar pandangan mengenai hala tuju serta masa depan kerjasama ASEAN dan Jepun mengenai sukan.

"Kerajaan menyokong kerjasama yang ditawarkan oleh Jepun di bawah pelan kerja terutamanya program dan aktiviti yang diketuai oleh Malaysia.

"Kementerian Belia dan Sukan telah menyiapkan draf perjanjian persefahaman (MoU) mengenai kerjasama sukan antara Malaysia dan Jepun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri Kesatuan, Kementerian Kesihatan dan Sukan Myanmar, H.Eme Myint Htwe merupakan Pengerusi AMMS-4 yang berlangsung di Myanmar.

Saravanan yang mengetuai delegasi Malaysia berkata, mesyuarat itu mencatatkan keputusan terbaik oleh negara-negara anggota ASEAN selain bertukar pendapat mengenai perkara yang diketengahkan oleh Menteri-Menteri ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN.

"Mesyuarat ini juga mengambil keputusan yang disyorkan oleh Mesyuarat Pegawai Kanan mengenai Sukan (SOMS) termasuk Rancangan Kerja ASEAN pada Sukan 2016-2020," katanya.

Sebelum ini, Malaysia merupakan Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN ke-3 di Kuala Lumpur pada tahun 2015.