Tutup

Berita  | Sukan

Kekalkan berat, jaga makan cabaran paling sukar sebelum pertarungan

Kekalkan berat, jaga makan cabaran paling sukar sebelum pertarungan
Jihin akan kembali beraksi pada acara ONE: Masters of Destiny pada 12 July ini yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto ONE Championship
KUALA LUMPUR: Menjadi seorang petarung seni bela diri campuran (MMA) bukanlah sesuatu yang mudah.

Selain terpaksa berlatih siang dan malam, mengenakan diet pemakanan yang ketat serta mempersiapkan diri secara mental dan fizikal merupakan antara cabaran yang perlu ditempuhi.

Bagi atlet muda MMA wanita negara, Jihin Radzuan, cabaran yang paling sukar baginya ialah membuat ‘weight cut’ atau menurunkan berat badan.

Sebagai seorang atlet atau petarung MMA, mereka perlu membuat ‘weight cut’ atau menurunkan berat badan ke berat divisyen yang ditandingi mereka.
Untuk Jihin yang bertanding dalam divisyen atomweight di ONE Championship, dia perlu menurunkan atau mengekalkan beratnya kepada 52.2kg (115 lbs).

“Kalau nak katakan, bab menjaga makan tu memang susahlah.. jadi minggu terakhir sebelum perlawanan ni memang kena betul-betul jaga.
“Tak boleh tiba-tiba nampak ais krim, nak makan… nampak tu, nak makan. Jadi memang kena betul-betul kawal nafsu makan,” kata anak kelahiran Johor berusia 21 tahun itu ketika ditemui pada sesi ‘open workout’ ONE Championship di ibu negara pada Selasa.

Bagaimanapun, menurut Jihin, keadaannya buat masa ini sangat baik dan berjalan lancar.

“Saya rasa sangat bagus setakat ini, kena kekalkan berat badan sebab dua kali kita kena timbang berat, jadi memang kena jaga… tetapi setakat ini semua berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Jihin berkata dia yakin dapat menumpaskan lawannya Jomary Torres di acara ONE: Masters Of Destiny, Jumaat ini.

BACA: 4 atlet seni tempur negara bakal beraksi di kejohanan ONE di KL

BACA: MMA: Jihin sasar satu hingga dua tahun untuk bergelar juara dunia

Menurutnya, skil yang dipamerkannya kali ini ‘lain dari yang sebelumnya’.

“Memang setiap pertarungan saya yakin saya akan menang, memang tak boleh ada keraguan di situ.

“Untuk perlawanan ini, ia lain daripada yang lepas sebab cara berlawan saya kali ini lain. Dan memang selama ini pun cara saya lawan, selalu berlainan dari yang sebelumnya… tak pernah sama,” katanya.

Dikenali dengan nama jolokan 'Shadow Cat', Jihin akan kembali beraksi pada acara ONE: Masters of Destiny pada 12 Julai ini yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Selepas lima pertarungan MMA di pentas ONE Championship, Jihin kini memegang rekod empat menang dan satu kalah.




Tag: ONE Championship, weight cut, seni bela diri campuran, MMA, mixed martial arts, Jihin Radzuan, Jomary Torres, ONE Masters Of Destiny, Shadow Cat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.