PENEMBAK negara, Jonathan Wong memilih Korea Selatan sebagai destinasi penting bagi persediaan terakhir sebelum ke Rio, Brazil bulan depan.

Pemilihan Korea Selatan untuk kem latihan selama dua minggu merujuk kepada penguasaan atlet dari negara itu sendiri yang sememangnya antara yang unggul di dunia.

Difahamkan atlet ini bakal menimba ilmu dengan ketua jurulatih menembak Korea Selatan, Park Sang Soon, namun ia masih dalam peringkat perbincangan.

Jonathan yang dijadual berangkat ke Korea Selatan, esok, mengakui kelemahan ketaranya adalah konsentrasi dan ini mahu diperbaikinya dengan sebaik mungkin.

"Di sana saya akan berlatih di bawah bimbingan jurulatih Korea dan pasukannya. Saya harap di sana saya dapat menimba lebih banyak pengalaman.

"Pada awalnya memang ada rasa kurang selesa sebab bila ada jurulatih lain, saya perlu mendengar arahan jurulatih Korea selain jurulatih negara.

"Tapi lama saya boleh sesuaikan diri dan berbincang dengan jurulatih negara," katanya yang baru pulang berlatih selama seminggu di Jerman.

Chef de Mission ke Rio, Tan Sri Mohammed Al-Amin Abdul Majid turut tidak ketinggalan mendapatkan perkembangan terkini Jonathan menjelang aksi di Rio De Janeiro, Brazil.

"Bagaimana dia menyesuaikan diri dengan suasana dan pertandingan baru, itu penting.

"Itu sebabnya dia dihantar ke banyak tempat dan negara untuk melihat keadaan yang berbeza-beza," katanya.