Sikap komited jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei perlu dijadikan contoh buat pelapis muda untuk mencapai tahap sebagai pemain nombor satu negara.

Tegas Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, tiada jalan pintas buat atlet negara untuk meraih gelaran itu seperti mana Chong Wei, dengan keringat dan kerja keras beliau selama ini.

“Pelbagai kejayaan dan pengalaman yang telah dilalui Chong Wei sebelum ini. Walaupun pelbagai sejarah kejayaan telah dilakar, begitu juga dengan pahit getir yang pernah dilalui Chong Wei sebelum ini.

"Dalam setiap kejayaan itu, ada proses dan pengalaman yang telah dilalui Chong Wei. Kalau kita lihat beliau berjaya hari ini, sebelum ini, sejarah beliau, banyak melalui pengalaman yang agak susah.

“Kita juga tahu, Chong Wei membuktikan, tiada jalan singkat untuk capai kejayaan sehingga menjadi pemain nombor satu dunia.

“Setiap kali latihan, pasti Chong Wei tiba lebih awal dan tinggalkan gelanggang paling lambat. Begitu juga dengan sikap dan komitmen Chong Wei dalam menjaga tahap kesihatan beliau, supaya sentiasa bersedia untuk setiap perlawanan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.



BACA: Kesihatan faktor Chong Wei umum persaraan

BACA: Ahli politik dan selebriti turut ucap #TQChongWei

BACA: 'Terima kasih Malaysia' - Lee Chong Wei

Sementara itu, Mohamad Norza menjelaskan, walaupun Chong Wei tidak lagi menjadi sandaran atlet bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020, dengan pelantikan beliau sebagai ‘Chef de Mission’ cukup menaikkan semangat atlet lain bagi menyahut cabaran meraih pingat emas pada temasya sukan itu.

Ujarnya, Chong Wei bakal menjadi inspirasi yang mampu merangsang atlet negara menyelesaikan perjuangan yang belum dicapai mana-mana atlet negara sebelum ini.


BACA: "Terima kasih Chong Wei" - Tun M dan isteri

BACA: Hentikan spekulasi masa depan Chong Wei