Pemain wanita nombor satu dunia, Lydia Ko dari New Zealand akan menggunakan bantuan 'kepakaran tempatan' dalam usaha menambah koleksi kejuaraan pada Kejohanan Golf Sime Darby LPGA Malaysia, bermula Khamis ini.

Lydia, yang berpisah dengan kedi Jason Hamilton selepas Kejohanan KEB Hana Bank di Korea Selatan, Ahad lepas, akan menggunakan khidmat kedi tempatan, Sargunan Suntharaj, yang lebih mesra dengan panggilan Guna di lapangan TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara di sini.

Sejak menggunakan khidmat Hamilton pada 2014, Lydia telah memenangi 10 kejohanan LPGA dan dua kejohanan Major.

"Beliau (Guna) mempunyai pengalaman luas dan pengetahuan sebagai kedi di sini. Saya diperkenalkan kepada beliau oleh Danielle Kang yang akan turut beraksi minggu ini.

"Semua orang mengenali dia (Guna) di sini...mudah-mudahan diharap saya mempunyai banyak keseronokan di lapangan minggu ini," katanya pada sidang media bersama pemain, di sini hari ini.

Mengenai buruan untuk menggunguli carta terbaik LPGA (Money List) dan Pemain Terbaik Rolex tahun ini, katanya, apa yang penting adalah untuk menampilkan persembahan terbaik.

"Apabila saya seronok bermain...pada masa itulah saya menampilkan aksi terbaik," katanya.

Lydia, bagaimanapun, akan berdepan dengan cabaran daripada juara bertahan, Jessica Korda di sini selepas pemain Amerika Syarikat itu muncul naib juara LPGA Blue Bay di China, hujung minggu lepas.

Dalam pada itu, Korda berkata beliau teruja untuk memulakan saingan selepas mula mendapatkan semula sentuhan sejak kebelakangan ini.

"Saya menukar jurulatih tahun lepas dan melalui beberapa perubahan. Akhirnya saya mula nampak hasil dengan pukulan putt. Saya masih ada tiga kejohanan untuk melengkapkan musim ini," katanya.

Sementara itu, pemain nombor satu negara, Kelly Tan berkata beliau berazam mahu menamatkan musim ini dengan aksi yang menonjol pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$1.8 juta (RM7.506 juta) itu.

Pemain Olimpik Rio 2016 berusia 22 tahun itu bukan sahaja teruja untuk beraksi di hadapan penonton sendiri tetapi yakin dapat muncul dalam kelompok 30 pemain terbaik pada kejohanan tersebut.

Hanya satu-satunye pemain Malaysia dalam Jelajah LPGA, Kelly tidak sabar untuk mencapai penemuan baharu dalam kariernya apabila musim baharu bermula tahun depan.

Selain Kelly, cabaran Malaysia digalas oleh seorang lagi pemain Olimpik, Michelle Koh, Ainil Johani Abu Bakar, Aretha Pan, Nur Durriyah Damian, Ashley Lau, Winnie Ng, Natasha Oon dan Jean Chua.

Ini merupakan kontinjen terbesar negara dalam sejarah kejohanan yang masuk edisi ketujuh tahun ini. - BERNAMA