Perlis menewaskan Pahang dengan jaringan 2-1 untuk mempertahankan kejuaraan GT Radial Piala Emas Raja-Raja 2014 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini, malam tadi.

Di awal babak perlawanan, kedua-dua pasukan bermain seimbang dengan saling menyerang bagi mecari gol pendahuluan.

Pada minit ke-32, M. Fauzi Roslan berjaya memecah kebuntuan dengan meledakkan gol pertama Pahang selepas menyambut sepakan sudut yang diambil Azidan Sarudin.

Keputusan separuh masa pertama kekal dengan jaringan 1-0.

Seawal separuh masa kedua, Pahang dilihat lebih agresif untuk menambah jaringan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu Perlis namun, berjaya ditangkis pertahanan pasukan pelawat.

Di minit ke-75, Perlis bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi pemainnya, Adrienjurad yang melepaskan satu tendang cantik membolosi pintu gol Pahang.

Momentum daripada jaringan itu, pasukan pelawat sekali lagi berjaya merobek gawang Pahang melalui pemainnya, Anas Shaharom yang melepaskan rembatan kencang di minit terakhir perlawanan.

Keputusan 2-1 yang berpihak kepada Perlis itu kekal hingga tamat permainan.

Perlis membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 manakala Pahang selaku naib johan menerima RM20,000.