Berita  | Sukan

Persiapan rapi tetap perlu dijalankan - Kim Swee

Persiapan rapi tetap perlu dijalankan - Kim Swee
KIM SWEE: China akan menjadi pencabar utama Malaysia tetapi kita tidak boleh memandang rendah kepada Laos dan Filipina.
"BARISAN negara tetap perlu menjalani persiapan rapi," itu pandangan pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengenai undian pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23, pada Rabu.

Kempen kelayakan AFC B-23 merupakan langkah pertama untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan dalam majlis undian yang berlangsung di pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil, pada Rabu, 44 pasukan diundi bagi menentukan kedudukan dalam 11 kumpulan.

Mengelak bertemu kuasa besar Asia Timur seperti Jepun, Korea Selatan dan Korea Utara, Malaysia diundi bersama China, Laos dan Filipina dalam Kumpulan J untuk kelayakan kali ini.
Dilihat memiliki peluang cerah untuk melayakkan diri ke pusingan akhir, Kim Swee menyedari persiapan rapi harus dilakukan bagi memastikan sasaran mereka itu tercapai.

AFC, melalui laman web rasminya, www.the-afc.com, memaparkan Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Kumpulan J itu yang dijadualkan  berlangsung pada Mac tahun depan.

China dilihat bakal menjadi pesaing utama buat skuad bimbingan Kim Swee itu dalam kumpulan berkenaan, namun keupayaan Filipina dan Laos tidak boleh diperkecilkan.

"China akan menjadi pencabar utama Malaysia tetapi kita tidak boleh memandang rendah kepada Laos dan Filipina. China telah mengambil khidmat Guus Hiddink untuk melatih skuad B-23 mereka dan Malaysia harus melakukan persiapan rapi untuk saingan ini," kata Kim Swee.

"Malaysia akan menyertai beberapa kejohanan serta beberapa sesi latihan bagi memberikan pengalaman serta menguji taktikal serta strategi untuk menghadapi saingan ini," ujarnya.

Sementara itu, juara bertahan, Uzbekistan, diundi dalam Kumpulan F bersama Tajikistan, Pakistan dan India.

Vietnam yang muncul naib juara pada edisi 2018 pula berada dalam Kumpulan K bersama Thailand, Indonesia dan Brunei.

Untuk lebih banyak lagi berita sukan dan video, klik di sini