JARINGAN berganda penyerang Manchester United, Romelu Lukaku pada perlawanan menentang Huddersfield Town pada Sabtu telah berjaya meletakkan pasukan itu ke peringkat suku akhir saingan Piala FA selepas menang 2-0.

Gol pertama Lukaku telah dijaringkan pada minit ketiga, manakala gol seterusnya dijaringkan pada separuh masa kedua selepas United membuat serang balas terhadap pasukan yang pernah menewaskan mereka Oktober lalu.

Pemain dari Belgium itu telah menjaringkan gol dalam setiap tiga pusingan yang dimainkan United untuk musim ini dan kini mempunyai 11 gol dari 10 penampilan Piala FA dan 21 gol untuk keseluruhan musim ini.

Perlawanan dengan Huddersfield itu turut menyaksikan keputusan pengadil dibuat menerusi bantuan video apabila gol Juan Mata tidak dikira kerana dikatakan 'off-side'.