Disaat dua bintang Barcelona, Lionel Messi (Argentina) dan Neymar (Brazil) meledak dengan empat gol dalam kempen Piala Dunia ini, Pemain Terbaik Dunia 2013, Cristiano Ronaldo masih tercicir tanpa sebarang jaringan di kala perlawanan Kumpulan G kini sudah memasuki perlawanan terakhir.

Kumpulan G merupakan satu-satunya kumpulan yang masih lagi terbuka persaingan kepada semua pasukan yang berada dalam kumpulan itu iaitu Jerman, Amerika Syarikat, Portugal dan Ghana.

Di kesempatan terakhir ini, Portugal yang pernah muncul dengan pencapaian terbaik iaitu berada di peringkat separuh akhir pada Piala Dunia 1966 dan 2006 tidak mahu mengikuti jejak langkah Sepanyol, England dan Itali yang kandas di peringkat kumpulan.

Meski prestasi Portugal pada saat ini dianggap sebagai tidak berada dalam keadaan terbaik, perancang tengah pasukan itu, Cristiano Ronaldo dan teman-teman tidak akan pulang ke Lisbon dengan keadaan memalukan dan pertemuan dengan Ghana ini akan dijadikan sebagai batu loncatan bagi mereka untuk lolos ke peringkat kalah mati.

Namun begitu, keupayaan Ghana yang hampir menjinakkan jaguh Eropah, Jerman pada perlawanan kedua kumpulan tidak boleh diperkecilkan.

Tambahan pula kejayaan satu lagi wakil Afrika, Nigeria yang layak ke peringkat kalah mati dijadikan sebagai pembakar semangat skuad ‘Black Stars’ ini untuk bersama-sama meneruskan perjuangan Afrika dalam saingan Piala Dunia ini.

Asamoah Gyan, Kevin-Prince Boateng dan Andre Ayew dijangka akan membayangi pertahanan Portugal dalam usaha menjaringkan gol kemenangan.

Baik Portugal mahupun Ghana, kedua-duanya memerlukan kemenangan untuk melangkah lebih jauh disamping mengharapkan sama ada Jerman atau Amerika Syarikat tewas.

Selain itu, perlawanan antara Jerman dan Amerika Syarikat dilihat lebih sebagai ‘Jerman menentang Jerman’ dimana jurulatih Jerman pada Piala Dunia 2006, Juergen Klinsmann kembali sebagai jurulatih Amerika Syarikat.

Malah, dalam skuad Amerika Syarikat juga terdapat lima pemain kelahiran atau dibesarkan di Jerman seperti Jermaine Jones, Fabian Johnson, Timmy Chandler, John Brooks dan Julian Green, namun, walau apa sekalipun sentimen perlulah diketepikan terlebih dahulu kerana perlawanan antara Amerika Syarikat dan Jerman ini adalah penentu kepada kedua-dua pasukan untuk melangkah lebih jauh.

Jerman dilihat berada di hadapan untuk layak dan kedua-dua pasukan ini hanya memerlukan keputusan seri untuk mengekang kemaraan Portugal dan Ghana ke peringkat seterusnya.

Namun, Jerman dan Amerika Syarikat sudah tentu tidak mahu keputusan sendiri dijadikan sebagai bekalan untuk layak ke pusingan kalah mati sebaliknya lebih menumpukan untuk berjuang habis-habisan mencapai kemenangan.

Jerman dijangka akan sekali lagi mengharapkan ketajaman penggempur utamanya, Thomas Muller sambil dibantu oleh Mario Goetze dan Mesut Ozil manakala Amerika Syarikat pula akan bergantung kepada Clint Dempsey disamping Jermain Jones, Graham Zusi dan Julian Green sebagai pembantu penggempur.

RAMALAN ASTRO AWANI: Amerika Syarikat..2 Jerman..3, Portugal..1 Ghana..2