BUAT pertama kalinya, Roger Federer dan Serena Williams akan dipertemukan di dalam gelanggang.

Dua jagoan tenis ini akan bertarung dalam saingan Piala Hopman pada Selasa apabila Switzerland berdepan Amerika Syarikat di Perth, Selasa ini.

Mereka akan bermain dalam kategori perseorangan masing-masing lelaki dan wanita sebelum bertemu dalam kategori regu campuran bersama gandingan masing-masing, Belinca Bencic dan Frances Tiaofe.

“Ia pastinya satu pertemuan yang cukup mengujakan bagi kami dan saya harap semua peminat tenis dapat menontonnya,” kata Federer.

Sementara Williams menyatakan pertembungan ini bagaikan mimpi jadi kenyataan.

“Saya memang amat menantikannya. Ini sangat hebat,” katanya.

Federer dan Williams, kedua-duanya berusia 37 tahun, memenangi 43 gelaran Grand Slam jika digabungkan bersama.

Karier kompetitif masing-masing masih aktif, namun Federer menegaskan bahawa ia keterlaluan untuk menyatakan dia sudah benar-benar mengenali Williams.

“Saya kagumi setiap apa yang dilakukannya di dalam mahupun luar gelanggang, kami berdua pesaing yang sentiasa dahaga dan kami sentiasa mahu menang.

“Ini merupakan pertemuan sekali seumur hidup, mungkin tidak akan ada lagi. Dia merupakan salah seorang daripada juara terhebat dalam sukan ini - lelaki dan wanita digabungkan - jadi ia sememangnya hebat untuk bermain menentangnya,” ujar Federer.

Perlawanan ini disifatkan sebagai yang paling dinantikan melibatkan pertembungan lelaki dengan wanita sejak ‘Battle of the Sexes’ pada 1973 yang menyaksikan juara Grand Slam 39 kali, Billie Jean King menundukkan bekas pemain nombor satu lelaki dunia, Bobby Riggs dalam ‘straight sets’.

Piala Hopman terdiri daripada dua perlawanan perseorangan dan beregu campuran antara negara dalam format ‘round-robin’ dengan lapan negara bertanding dalam dua kumpulan (empat pasukan setiap satu kumpulan).

Switzerland merupakan juara bertahan, di mana Federer dan Bencic memenanginya di Perth pada Januari 2018.