PEP Guardiola telah berusaha untuk memujuk Vincent Kompany kekal semusim lagi bersama Manchester City.

Kompany mengakhiri 11 tahun bersama kelab yang diketuainya musim lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu menjaringkan gol dari jarak jauh ketika memastikan kemenangan 1-0 ke atas Leicester City dalam aksi terakhirnya di Stadium Etihad, membantu City mengatasi Liverpool untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan berkelebihan satu mata.

Ia merupakan kisah yang berbeza kali ini, City kini jauh ketinggalan dengan The Reds.

Pertahanan mereka goyah dalam ketiadaan Aymeric Laporte yang mengalami kecederaan, dan Guardiola mendedahkan telah berusaha untuk mengekalkan Kompany semusim lagi daripada melepaskannya untuk menjadi pemain-pengurus Anderlecht.

"Saya cuba meyakinkan Kompany untuk kekal bersama pasukan semusim lagi," katanya menjelang aksi bertemu Wolves.

"Selepas dia mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan, saya berkata, 'Tidak, tidak tidak -- anda tidak akan tinggalkan saya. Tidak, tidak tidak'. Tetapi dia tinggalkan juga saya."

Guardiola kini turut membincangkan mengenai persiapan City untuk meneruskan cabaran tanpa dua lagi pemain berpengalaman pasukan.

David Silva turut mengumumkan ini merupakan musim terakhirnya di Manchester, manakala kontrak Sergio Aguero bakal berakhir pada 2021 dan sentiasa mendedahkan dirinya mahu kembali ke Argentina beraksi berasma Independiente.

Aguero merupakan penjaring gol terbanyak City dan kenangan gol yang dihasilkan dalam kecederaan masih lagi diingati apabila menamatkan kemarau 44 tahun untuk bergelar juara liga pada musim 2011-12.

"Saya berasakan Aguero seorang pemain yang tidak boleh diganti," katanya. "Kami memiliki seorang penyerang yang berkualiti dalam Gabriel Jesus dan mungkin seorang lagi akan menyertai kami apabila Aguero tidak lagi bersama kami.

"Kenangan paling penting buat kelab ini, anda lebih besar daripada memenangi Liga Juara-Juara (UCL). Saat Aguero menjaringkan gol ketika berdepan Queens Park Rangers untuk menjuarai EPL buat kali pertama. Ia merupakan saat yang jauh lebih manis daripada memenangi empat gelaran semusim dan Aguero pemain yang memastikan mereka bergelar juara."

Ketika Guardiola menjelaskan City perlu mencari penyerang baru menggantikan Aguero, beliau berasakan kehadiran pemain seperti Phil Foden, Ilkay Gundogan, Kevin De Bruyne dan Bernardo Silva bermakna pengganti David Silva tidak diperlukan.

"Kami memiliki pemain seperti [Bernardo } Silva, Foden, Gundogan dan De Bruyne. Kami mungkin tidak perlu mendapatkan pemain baru."