Bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei semakin menghampiri gelaran kelima dan ketiga Siri Super musim ini selepas melangkah ke pentas akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, pada Sabtu.

Jaguh badminton negara itu yang bertarung hebat hingga meleret ke rubber-set ketika menundukkan musuh ketatnya, Chen Long dari China, semalam, bagaimanapun, terpaksa bekerja keras pada set pertama dan memanfaatkan pengalamannya untuk menang 21-19, 21-14 ke atas pemain tuan rumah, Angus Ng Ka Long pada aksi separuh akhir yang berlangsung selama 45 minit.

Chong Wei akan bertemu pemain China Tian Houwei selepas pemain bukan pilihan itu bangkit sebelum menewaskan pemain Indonesia Anthony Ginting 18-21, 21-11, 21-6 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 33 tahun itu telah tiga kali menjuarai Terbuka Hong iaitu pada 2009, 2010 dan 2013.

Sebagai rekod, Chong Wei telah meraih gelaran Terbuka Amerika Syarikat dan Grand Prix Terbuka Kanada, kedua-dua kejohanan itu pada Jun selain menjuarai dua lagi kejohanan utama iaitu Siri Super Terbuka Perancis bulan lepas dan Siri Super Premier Terbuka China minggu lepas selepas menjalani penggantungan selama lapan bulan kerana kesalahan doping.