BEKAS pencabar utama kejuaraan light heavyweight UFC, Alexander 'The Mauler' Gustafsson hari ini membuat kejutan dengan mengumumkan persaraannya dari dunia seni bela diri campuran (MMA).

Berasal dari Sweden, Gustafsson 32 tahun membuat pengumuman itu sebaik sahaja tewas ditangan seorang lagi bekas pencabar kejuaraan, Anthony 'Lionheart' Smith.

Gustafsson tewas dengan cara kuncian 'rear-naked choke' pada pusingan keempat.

Semasa ditemubual selepas perlawanan, Gustafsson dilihat menanggalkan sarung tangannya sambil berkata, "Apa yang boleh saya katakan? Pertunjukkan telah selesai."

Dia kemudiannya mencampakkan sarung tangannya ke lantai kanvas lalu meninggalkan Octagon.

Dengan persaraan ini, Gustafsson menutup tirai kerjayanya sebagai petarung MMA dengan rekod 18 menang dan enam kekalahan.

Gustafsson sering kali diperkatakan sebagai salah seorang petarung light heavyweight yang hebat.

Antara sorotan yang menghiasi kerjayanya adalah seperti kemenangan ke atas Jimi Manuwa, Matt Hamill, Mauricio 'Shogun' Rua, dan Thiago Silva.

Terima kasih Gustafsson atas segalanya!