PERLAWANAN separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia-Thailand berakhir dengan kedudukan seri 0-0.

Walaupun deretan peluang demi peluang dilepaskan terutamanya ketika separuh masa pertama, namun penyokong Malaysia tetap kagum dengan ngauman hebat yang ditunjukkan Harimau Malaya, hari ini.

Harapan mereka agar pasukan Malaysia dapat memperbaik aksi “finishing” untuk perlawanan yang lebih mantap pada 5 Disember ini.

“Permainan yang baik, thank you for tonight Harimau Malaya,” tweet seorang penyokong, Tashya.


“Perjuangan belum tamat. Malaysia ada 90 minit lagi untuk berjuang!” tweet Puteri.


"Kagum dengan Pasukan Malaysia, kita pasti akan menang di Thailand nanti," tweet Zamir.


"Perjuangan belum selesai. Harapan masih ada."


Good gameplay, could kill the game but must improve our finishing,” tweet Aiman.



Sementara itu, pemenang tiket tempat duduk tetamu VVIP oleh Air Asia, Ahas Haikal Abd Suki pula berkata pengalaman menonton kali ini agak berbeza kerana terpaksa 'behave'.

"Perlawanan malam ini adalah pengalaman yang pertama saya menonton dari tempat duduk tetamu VVIP. Kebiasaannya sebelum ini saya hanya menonton dari tempat duduk terbuka saja.

"Kelainan tetap ada kerana agak kekok kerana sudah terbiasa menonton di stadium dengan berteriak setiap kali pemain Malaysia mendapat peluang dan juga menjaringkan gol.

"Namun apabila duduk di tempat duduk VVIP, saya 'perlu behave' berbanding biasa," kata Ahas Haikal menerusi satu teks mesej kepada Astro AWANI.

Tambah Ahas Haikal, suasana di stadium tadi lebih meriah berbanding perlawanan terakhir peringkat kumpulan ketika Malaysia bertemu Myanmar.

"Sorakan penyokong akan lebih meriah jika Malaysia dapat menjaringkan gol tadi. Setiap kali pemain Harimau Malaya melakukan percubaan ke arah gawang Thailand, penyokong mula berteriak dan kita dapat melihat bermacam reaksi mereka pada masa itu.

"Sayangnya keputusan sebentar tadi Malaysia terikat seri tanpa jaringan dengan Thailand. Penyokong tidak pulang dengan hampa kerana aksi permainan yang ditunjukkan pada malam ini cukup menghiburkan.

"Saya masih optimis Malaysia mampu menewaskan Thailand di Bangkok pada hari Rabu ini sekali gus menempatkan diri ke perlawanan akhir," katanya.