Sesuai dengan temanya "Innovation: A Public Service Imperative", Persidangan Dwitahunan CAPAM 2016 dari 18 hingga 20 Ogos di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) akan memperkenalkan idea-idea baharu termasuk penggunaan aplikasi acara mudah alih.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) Gay Hamilton berkata, aplikasi yang digunakan buat kali pertama pada persidangan CAPAM membolehkan rangkaian lebih kukuh di kalangan pengguna.

"Ia adalah persidangan mengenai inovasi, jadi kita cuba untuk berinovatif. Banyak persidangan mempunyai aplikasi acara sendiri, tetapi ini kali pertama untuk CAPAM," katanya kepada Bernama, di sini pada Jumat.

Aplikasi yang boleh dimuat turun dalam Apple App Store atau Google Play membolehkan pengguna berinteraksi antara satu sama lain selain mempunyai akses kepada program, biografi penceramah dan memuat turun kertas kerja persidangan.

Aplikasi Acara CAPAM, untuk tempoh satu tahun, membantu Persatuan untuk memenuhi matlamatnya meningkatkan jaringan antara penjawat awam dan berkongsi pengetahuan mengenai perkhidmatan awam dalam Komanwel.

Selaras dengan usaha ke arah inovasi, CAPAM juga memperkenalkan dua kategori baharu untuk Anugerah Inovasi Antarabangsa CAPASM tahun ini menggantikan dua kategori sebelumnya selepas kajian semula dijalankan tahun lepas.

Kedua-dua kategori baharu: DNA Inovasi dan Inkubator Inovasi adalah sebahagian daripada empat kategori dipertandingkan tahun ini termasuk Pengurusan Perkhidmatan Awam dan Inovasi dalam Penyampaian Perkhidmatan Awam, katanya.

Hamilton menekankan bahawa kategori baharu membolehkan idea-idea inovatif diiktiraf dan dikongsi bersama mefreka yang menghadiri persidangan, yang dihoskan oleh Malaysia buat kali ketiga tahun ini.

Beliau berkata tema tahun ini mengetengahkan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dan perkhidmatan awam dalam memenuhi keperluan rakyat.

"CAPAM memerhatikan apa yang berlaku dalam perkhidmatan awam dan kami mendapati bahawa bajet adalah ketat di mana-mana di semua negara. Mereka perlu menuruti laluan yang berbeza, jadi (mereka) memerlukan pendekatan baharu dan inovatif," katanya.

Persidangan Dwitahunan CAPAM 2016, yang setakat ini menarik lebih 600 peserta, menyediakan platform untuk perkongsian idea dan amalan terbaik antara kerajaan dan sektor perkhidmatan awam.