INI berita baik untuk penggemar aplikasi Snapchat!

Jika sebelum ini Snapchat cuma membenarkan pengguna memuat naik gambar atau video yang diambil "on the spot" atau secara spontan dengan pengenalan ciri baru "Memories" pengguna kini boleh melakukan lebih lagi.

Dalam kemas kini ciri baru Snapchat pada Rabu merupakan langkah besar untuk aplikasi tersebut.

Ini merupakan kali pertama aplikasi tersebut membenarkan pengguna meluaskan skop perkongsian gambar dan video yang bukan diambil secara spontan.

"Memories" membolehkan pengguna memuat naik gambar daripada galeri selain menyimpan gambar tersebut dalam koleksi yang boleh diakses kemudian mengikut acara, masa atau tema yang ditetapkan pengguna.

Ia juga membenarkan muat naik gambar dan foto yang diambil di luar aplikasi berkenaan.

"Memories" kini dipaparkan di bawah "My Story" dan ia masih mengekalkan konsep yang sama iaitu muat naik cuma bertahan 24 jam.

Namun, "Memories" menyediakan indikasi yang menunjukkan gambar tersebut bukan diambil secara spontan

Selain itu, Snapchat juga memperkenalkan ciri privasi "for my eyes only" yang menambah lapisan keselamatan dalam "Memories" dan gambar ini hanya boleh diakses dengan menggunakan kata laluan.