Tutup

Diversiti Malaysia di Google Street View

Diversiti Malaysia di Google Street View
Pengarah Urusan Google Malaysia Sajith Sivanandan dan wakil Operasi Street View Nhazlisham Hamdan
KUALA LUMPUR: Hampir 90 peratus imej pemandangan yang didapati di sepanjang jalan-jalan Semenanjung Malaysia kini boleh dilihat di Google Street View dari laman peta Google Maps.

Ia termasuk lebuh raya utama dan jalan bertol, jalan negeri, pusat bandar dan kawasan kejiranan.
Pada satu majlis untuk memperkenalkan perkembangan terbaharu ini, Pengarah Urusan Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, antara imej-imej baharu yang diberi tumpuan adalah Taman Negara, destinasi pelancongan seperti Pulau Langkawi dan Pangkor, tapak warisan UNESCO seperti Pulau Pinang dan Melaka, juga pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya.

“Kami ingin membantu orang ramai meneroka tempat yang baharu. Kami ingin anda menggambarkan destinasi itu sebelum memulakan perjalanan. Memang seronok untuk meneroka tempat baharu, tetapi kita boleh meneroka dengan melihat Google Street View terdahulu. 
“Kami mahu Google Maps dan Google Street View untuk terus memberi manfaat kepada pengguna,” jelas beliau.

Google Street View
Google Street View kini menampilkan destinasi menarik seperti Melaka. -Gambar: Google Street View/Google Maps

Google Malaysia dalam pada itu berharap penglibatan mereka melalui penyediaan peta yang lebih baik dapat membangunkan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

“Malaysia merupakan negara pelbagai dan berkembang, dan dengan menyediakan pengguna dan perniagaan dengan maklumat peta lebih berguna, Street View juga dapat membantu mencipta kesan ekonomi berpanjangan.

“Satu per lima pencarian di Google adalah mengenai lokasi. Ia dapat membantu pengguna dan sekali gus  membantu perniagaan,” kata Sajith.

Google Street View akan dikemaskini setiap sebulan atau dua bulan. Perancangan Google Malaysia adalah untuk menerbitkan imej Street View di Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak akan berhenti. Kita sudah ada ‘base’ dan kita juga akan membuat ‘time machine’ supaya dalam tempoh enam bulan akan datang, anda boleh membuat perbandingan kerana jalan raya di Kuala Lumpur, sebagai contoh, kerap berubah,” jelasnya.

Google Street View
Google Street View boleh dilihat menerusi laman web dan juga aplikasi Google Maps. -Astro AWANI/Syafique Shuib

Kereta Street View mula bergerak pada tahun lepas untuk merakam gambar pemandangan jalan raya dan lebuh raya di Malaysia.

Bagi kawasan-kawasan bukan jalan utama (off road), imej diambil oleh ‘Street View Trekker’ menggunakan sistem kamera diletakkan pada beg sandang. Manakala bagi pemandangan laut pula, pasukan Street View menaiki bot (canoe) untuk merakam imej persekitaran.

Pasukan Street View terdiri daripada pasukan operasi daripada Google, kontraktor dan juga rakan kongsi yang boleh membantu merakam video bagi pihak pasukan Google Street View.