Satu-satunya saluran sukan elektronik (e-Sukan) 24 jam sehari di Asia Tenggara, Astro Every Good Game (eGG) telah dilancarkan di Australia melalui Fetch TV baru-baru ini.

Dengan pelancaran tersebut turut menjadikan eGG sebagai saluran e-Sukan pertama yang disiarkan di Australia.

eGG membuka tirai di negara tersebut dengan menyiarkan secara langsung perlawanan akhir kejohanan Dota 2 Boston Major, yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM13.4 juta.

Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata eGG memberi peluang kepada peminat e-Sukan Australia untuk menonton kejohanan-kejohanan terkemuka e-Sukan di seluruh dunia, termasuk League of Legends, Counter Strike: Global Offensive, dan Overwatch.

“eGG akan membawakan pengalaman baru bagi peminat e-Sukan di Australia, di samping mereka dapat menonton dan memberi sokongan kepada pasukan kegemaran mereka melalui platform ini,” katanya dalam satu kenyataaan.

Lee juga berkata, selepas Australia beliau berharap saluran eGG dapat disiarkan di Filipina pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fetch TV Scott Lorson berkata: “eGG merupakan saluran tambahan yang baik bagi Fetch TV dan tiada caj tambahan dikenakan untuk menonton saluran ini."


EGG Network lonjak industri sukan elektronik Malaysia

Melihat kepada perkembangan terbaru saluran eGG, Pengasas Komuniti e-Sukan Malaysia, Firdaus Hashim, berkata beliau bangga dan gembira melihat industri e-Sukan di negara ini terus berkembang di pasaran Asia.

"Pelancaran saluran televisyen Malaysia di pasaran Australia ini memang membanggakan.

"Ia juga akan memberi kesedaran kepada masyarkat Malaysia, memandangkan industri e-Sukan tempatan kini lebih terdedah di sekitar rantau Asia. Saya jangka akan lebih banyak syarikat global akan berminat dengan dalam pasaran Malaysia dan Asia," tambahnya ketika dihubungi Astro AWANI baru-baru ini.

Beliau juga berkata lebih banyak kejohanan terkemuka dunia akan lebih banyak diadakan di Malaysia, dengan perkembangan terbaru eGG ini.

Barisan pengacara bagi saluran Astro eGG Network (dari atas kiri) Faraz Shababi, Natasha Hidayah, Faisal Ariffin, Daniele Purdue, Abdul Mu'adz, dan Pinda Rika. - Foto Astro eGG Network

eGG
telah dilancaran sejak Jun lalu dan dilihat mempunyai potensi untuk memainkan peranan penting dalam menghubungkan peminat-peminat e-Sukan di negara-negara Asia Tenggara.

Saluran ini turut menyajikan siaran kejohanan sukan elektronik terkemuka seperti League of Legends, Defence of The Ancient 2 (Dota 2), Counter Strike: Global Offensive, Hearthstone, Heroes of the Storm, StarCraft II.

Kandungan On Demand turut menampilkan tatacara permainan, panduan daripada pemain profesional dan juga sorotan minggua.

Pelanggan Astro dapat menonton saluran ini secara percuma di saluran Astro 808 dan Astro on the Go.