KANAK-KANAK seawal lapan tahun kini bergantung kepada media sosial untuk mengukur nilai diri mereka, lapor Daily Mail.

Menurut satu kaji selidik di England, kanak-kanak itu mengukur status mereka berdasarkan jumlah 'likes' (sukaan) yang diperolehi di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.

Malah, ada yang mengubah tingkah laku mereka dalam kehidupan sebenar untuk meningkatkan imej mereka di atas talian.

"Apa yang bermula sebagai aplikasi yang menyeronokkan, berubah menjadi tekanan ketika mereka mula jejak sekolah menengah.

"Walaupun media sosial jelas memberikan manfaat yang besar kepada kanak-kanak, ia juga mendedahkan mereka kepada risiko yang signifikan secara emosi.

"Saya bimbang bahawa ramai kanak-kanak yang memulakan alam persekolahan menengah, tidak bersedia menghadapi tekanan di media sosial secara tiba-tiba apabila dunia mereka mula berkembang," kata Pesuruhjaya Kanak-kanak England, Anne Longfield.

Beliau telah menjalankan kaji selidik tersebut melibatkan kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun.

Menurutnya, media sosial telah mendedahkan kanak-kanak kepada gangguan emosi, sehingga ada yang tidak mampu berhadapan dengan tekanan yang dihadapi di atas talian.

Bulan lalu, bekas eksekutif Facebook Chamath Palihapitiya, telah menyalahkan syarikat itu kerana 'merosakkan bagaimana masyarakat berfungsi'.

Bagaimanapun Facebook dalam satu kenyataan balas telah menasihatkan pengguna supaya enggunakan medium tersebut secara aktif.

Menurut gergasi media sosial itu, ini kerana, melayari laman media sosial itu secara pasif dengan hanya 'scroll' dan membaca posting orang lain boleh mendatangkan kesan negatif kepada pengguna tersebut.

Berikut merupakan antara respon kanak-kanak tersebut:

"Apabila anda dapat 50 'likes' ia buat anda rasa bagus, sebab anda tahu anda kelihatan baik dalam foto itu." Harry, 11

"Jika saya dapat 150 'likes', ini bermakna mereka menyukai anda.' Aaron, 11

"Saya mungkin menggunakan media sosial 18 jam sehari." Bridie, 11

"Anda mungkin membandingkan diri anda kerana anda tidak begitu cantik berbanding dengan mereka." Aimee, 11

"Jika anda tidak mempunyai barang-barang mahal dan berjenama, orang akan perlekehkan anda." Harry, 11