Tutup

Ramai tak sedar potensi peluang pekerjaan dalam e-sukan

Ramai tak sedar potensi peluang pekerjaan dalam e-sukan
Amtuah dan Aiman Amri akan menyampaikan hujah mereka dalam program Debat Awani yang akan disiarkan di Astro Awani 501. - Astro Awani
KUALA LUMPUR: Ramai graduan merungut apabila tiada peluang pekerjaan selepas mereka tamat pengajian.

Namun, mereka tidak sedar bahawa peluang pekerjaan datang dari pelbagai sudut dan e-sukan merupakan salah satu penyumbang yang berpotensi.

Pemain e-sukan Malaysia, Nur Amirul Afandi atau lebih dikenali sebagai AmTuah berkata, bidang e-sukan bukan sahaja tertumpu kepada pemain semata-mata.

Malah, katanya, ia juga melibatkan beberapa posisi lain seperti penganjur, pengadil dan juga beberapa tugas lain yang membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda di Malaysia.
“Ramai yang berpendapat e-sukan ini hanya bergantung kepada pemain sahaja. Sebenarnya tidak. Jika di belakang tabir, ia juga melibatkan penganjur, pengulas dan banyak bidang lain,” katanya.

Tambahnya, e-sukan juga mampu menjana pendapatan anak muda kini, kerana sukan itu berupaya memberi pendapatan yang lebih kepada pemainnya.


Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata beliau berhasrat mengubah Malaysia menjadi satu hub e-sukan terbesar, bukan sahaja di Asean, tetapi juga di Asia.

Amtuah merupakan salah seorang dari ahli panel yang akan menyampaikan hujahnya dalam program Debat Awani di saluran Astro AWANI 501 pada 16 Disember ini.