Setelah beroperasi selama 23 tahun di bandar raya bergelar ''Big Apple'' ini, pejabat Tourism Malaysia New York, yang ditubuhkan bagi mempromosi sektor pelancongan Malaysia dan menarik pelancong khususnya dari pantai timur Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, akhirnya melabuhkan tirainya.
Walaupun pejabat penuh bersejarah itu akan menutup pintunya secara rasmi pada 30 Jun ini, tetapi sejak beberapa minggu lepas, para petugasnya bertungkus lumus memindahkan fail serta perkakas tertentu ke ibu pejabat Tourism Malaysia di Kuala Lumpur manakala beberapa perabot dan peralatan lain akan diderma atau disumbangkan kepada institusi Malaysia di bandar raya ini.
Pejabat itu turut memaklumkan kepada sejumlah besar pengikutnya serta ''Friends of Malaysia'' tentang penamatan operasinya. Setakat ini, kira-kira 500 ejen perjalanan telah dimaklumkan tentang perkara itu.
Penulis sendiri, yang menghadiri majlis perasmian pejabat itu 23 tahun lepas, mengikuti secara dekat evolusi usaha mempromosi pelancongan Malaysia yang beralih daripada melayan pertanyaan melalui surat kepada promosi dan usaha pemasaran secara agresif sehinggalah kepada usaha mewujudkan kemudahan komunikasi dan digital serba canggih untuk mempromosi sektor pelancongan Malaysia di negara ini.
Dua daripada staf tempatan paling senior iaitu pengurus pemasaran Mary M. Scully dan eksekutif pemasaran Nurulhuda Abdul Rahim, yang bertugaas selama 23 tahun di pejabat itu, kelihatan sedih tetapi tenang apabila berbicara tentang penutupan pejabat berkenaan.
Kedua-dua wanita itu berkata mereka akan berehat selama sebulan dua sebelum melakukan sesuatu yang dirasakan sesuai.
Sementara itu, dalam temu bual dengan Bernama di pejabatnya, Ahmad Johanif Mohd Ali yang merupakan naib presiden terakhir pejabat Tourism Malaysia New York selepas penggal perkhidmatannya berakhir dengan penutupan pejabat itu, berkata keputusan itu diambil sebagai langkah penjimatan kos.
"Sayang sekali, penutupan ini tidak dapat dielakkan. Kami menghargai kesetiaan dan dedikasi staf tempatan kami serta berterima kasih kerana khidmat yang telah mereka curahkan," katanya.
Penutupan pejabat itu sudah tentu meninggalkan kekosongan yang bukan mudah untuk diisi. Bagaimanapun, usaha penggalakan pelancongan di bahagian pantai timur negara ini akan diterajui pejabat Tourism Malaysia Los Angeles.
Pejabat itu, yang sebelum ini bertanggungjawab bagi wilayah pantai barat sahaja, kini diamanahkan dengan tugas yang meliputi seluruh AS serta rantau lain.
Ahmad Johanif berkata pejabat konsul jeneral Malaysia di New York dan kedutaan Malaysia di Washington DC juga akan membantu mempromosi Malaysia melalui aktiviti kebudayaan dan sebagainya bagi menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Pejabat Tourism Malaysia New York akan menggunakan Facebook untuk berhubung dengan mereka yang menjadi penghubungnya kerana sambungan telefonnya ditamatkan mulai Ahad ini.
Sementara itu, Malaysia akan terus menyertai The New York Times Travel Show di Javits Convention and Exhibition Center, New York pada pada Januari depan manakala Tourism Malaysia Los Angeles pula akan mengambil bahagian dalam NYTTS mulai 2018.
"Ia merupakan pameran perjalanan dan pelancongan paling penting di negara ini dan Tourism Malaysia akan terus mempamerkan keunikan Malaysia pada acara itu, yang menjadi perhatian pengusaha, ejen pelancongan dan pihak lain yang mempunyai kaitan dengan industri perjalanan," kata Ahmad Johanif.
Beliau akan kembali ke ibu pejabat di Kuala Lumpur tidak lama lagi manakala timbalannya Ednie Rahma Ab Rahim, yang mula bertugas di New York beberapa bulan lepas, ditukarkan ke pejabat Tourism Malaysia Los Angeles.
Walaupun ketibaan pelancong dari AS ke Malaysia menurun pada suku pertama 2017, namun Tourism Malaysia meramalkan ia kembali meningkat pada suku kedua 2017.
Menurut data ibu pejabat di Kuala Lumpur, jumlah ketibaan dari AS pada suku pertama Januari-Mac 2017 menurun 12.9 peratus kepada 52,237 berbanding angka sebelumnya.
Hasil juga menyusut pada suku sama 2017 iaitu sebanyak 10.9 peratus kepada RM 0.16 bilion. AS menduduki tangga ke-14 daripada 15 negara yang paling banyak rakyatnya melawat Malaysia pada suku pertama 2017.
Sepuluh negara teratas dari segi jumlah ketibaan rakyatnya di Malaysia ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, Korea Selatan, India, Jepun, the United Kingdom dan Australia.
Bagaimanapun, Ahmad Johanif berkata berdasarkan daftar tempahan tiket penerbangan ke Malaysia pada musim panas Jun-Ogos 2017, ketibaan dari AS diramalkan berkembang sebanyak 14 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.
"Ini menunjukkan kami akan mencatat pemulihan pada suku kedua tahun ini," katanya.
"Perangkaan bagi ketibaan dari AS pada April yang menunjukkkan trend menurun itu ditampung semula dengan pertumbuhan sebanyak 9.5 pertus dalam ketibaan pada 2016," katanya.
AS adalah pasaran pelancongan terbesar dunia dari segi perbelanjaan rakyatnya yang melancong ke luar negara.
Beberapa pengusaha pelancongan secara peribadi memberitahu Bernama bahawa mereka berharap Malaysia akan membuka semula pejabat pelancongannya di New York.
"Memang sesuatu yang sukar untuk datang dan memulakannya kembali. Kehadiran secara berterusan adalah penting untuk memelihara momentum pelancongan," kata David Eisenberg, perunding perjalanan dan pelancongan berpejabat di New York.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Jun 19 2017
Setelah beroperasi selama 23 tahun di bandar raya bergelar ''Big Apple'' ini, pejabat Tourism Malaysia New York, melabuhkan tirainya. - Gambar fail
AWANI Pagi: Break the Siege - Pelayaran ditangguhkan, apa seterusnya?
Misi Freedom Flotilla to Gaza, yang sepatutnya memulakan pelayaran minggu lalu, akhirnya ditangguhkan atas pelbagai faktor. Wartawan kami di Istanbul, Syaff Syukri akan kongsi perancangan seterusnya misi ini.
PM Anwar ke Riyadh sempena Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia
Mesyuarat Khas bertemakan "Global Collaboration, Growth and Energy Development" akan dihadiri oleh Ketua-ketua Negara dan Kerajaan serta pemimpin industri.
Proses penamaan calon berlangsung 9 pagi ini
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) membuka tirai hari ini dengan bermulanya proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut nahas
Mangsa lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pemuzik di DBKL meninggal dunia di tempat kejadian.
Bebaskan pasaran buruh dari perangkap gaji berasaskan kelayakan akademik - Penganalisis
Malaysia harus beralih ke arah penetapan gaji berdasarkan kompetensi pekerja.
Raja Charles III sambung tugas awam minggu depan
Raja Britain, Raja Charles ketiga akan meneruskan tugas awamnya minggu depan setelah cataT perubahan baik dalam rawatan kanser. Baginda akan memulakan dengan lawatan simbolik ke pusat rawatan kanser.
Demonstrasi pro-Palestin di kampus universiti AS
Demonstrasi pro-Palestin tercetus di beberapa kampus utama Amerika Syarikat. Pelajar menuntut gencatan senjata kekal dan menekan Washington untuk menamatkan sumbangan dana tentera kepada Israel.
Dakwaan Israel: PBB masih siasat 8 individu
Pasukan Khas PBB menutup satu kes dan menggantung tiga kes berhubung dakwaan terhadap 12 petugas UNRWA yang terlibat dengan Hamas, susulan kekurangan bukti dari Israel.
Hamas mahu gencatan senjata bersyarat
Hamas komited kuatkuasa gencatan senjata dalam perang dengan Israel, namun dengan syarat yang dituntut.
Penghidap kanser tulang impikan telefon bimbit
Siti Zubaidah, calon SPM yang mengidap kanser tulang, bercita-cita memiliki telefon bimbit untuk merakam kenangan sebelum pergi. Petronas merealisasikan impian ini melalui program 50 Dreams.
Selepas 23 tahun, Tourism Malaysia New York labuh tirai
Setelah beroperasi selama 23 tahun di bandar raya bergelar ''Big Apple'' ini, pejabat Tourism Malaysia New York, melabuhkan tirainya.