VIDEO seorang wanita yang memakai topeng watak dari filem Star Wars, Chewbacca, memecah rekod tersendiri apabila menjadi video sesi Facebook Live dengan tontonan paling ramai dalam masa paling singkat.

Dalam tempoh empat hari, video itu telah mencatat tontonan lebih 123 juta.


Candace Payne merakam video dia memakai topeng itu hanya sekadar satu hiburan buat diri sendiri dan rakan-rakannya. Ketika itu dia baru sahaja membeli topeng berkenaan dan membuat keputusan memakai topeng itu di dalam kereta.


Topeng itu mengeluarkan bunyi apabila ia dipakai sambil menggerakkan bahagian mulut, sekali gus membuatkan Payne geli hati.

Payne memberitahu portal BBC, dia terkejut apabila video itu menjadi viral dan menarik perhatian ramai.

"Memang gila. Saya hanya ketawa sepanjang video itu, malah saya sendiri merasakan rakaman itu merepek.

"Saya ketawa besar kerana saya rasa wajah saya sebagai Chewbacca sangat kelakar," kata Payne.

Kesan daripada video itu yang menjadi viral, topeng Chewbacca kini habis dijual di banyak tempat di Amerika Syarikat, antaranya Target, Walmart dan Toys R Us.

Topeng Chewbacca kini dijual dengan harga lebih dua kali ganda dari harga asal.


Malah, harganya naik sehingga tiga kali ganda dari harga asal, jika dibeli dari laman web jual beli, seperti eBay.

Harga topeng itu pada asalnya ialah sekitar AS$30 (RM122), namun di laman eBay, ia dijual sehingga AS$120 (RM489).