TOP Gear menjadi salah satu topik yang trending di seluruh dunia selepas British Broadcasting Corporation (BBC) mengumumkan Jeremy Clarkson tidak akan menjadi hos untuk rancangan automotif itu.

Clarkson digugurkan selepas didakwa menyerang dan mencederakan penerbit rancangan itu, Oisin Tymon.

Walaupun apa keputusan atau tuduhan yang dibuat BBC terhadap Clarkson, orang ramai tetap menunjukkan sokongan terhadap hos itu yang sememangnya sinonim dengan rancangan automotif itu.

Orang ramai menganggap pemecatan Clarkson sebagai satu tindakan yang tidak tepat.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan BBC, kontrak Clarkson tidak akan disambung selepas beliau didapati menyerang Tymon secara fizikal, walaupun tiada sebarang provokasi dicetuskan terhadapnya.

Ketua Pengarah BBC, Tony Hall menyifatkan tindakan Clarkson tersebut melampaui batas dan tidak boleh membiarkan perkara seperti itu berlaku.

Hall turut mengakui meminati rancangan Top Gear dan kesal ia terpaksa berakhir dengan pemecatan seorang hos yang dianggap unik dan berbakat.

Tymon mengalami kecederaan pada bibir dan bengkak selepas mendakwa diserang Clarkson walaupun tidak mencetus sebarang provokasi fizikal mahupun secara lisan terhadap Clarkson.

Malah selepas serangan itu, Tymon bimbang beliau akan dipecat.

Menurut laporan BBC, walaupun Tymon tidak melaporkan kejadian itu kepada majikannya, Clarkson sendiri yang melaporkan insiden itu sebelum digantung pada 10 Mac sementara siasatan dijalankan.

Pengumuman BBC menyebabkan sebuah pungutan suara dalam talian diadakan dengan sejuta orang meminta Clarkson diambil semula sebagai hos Top Gear.

Top Gear mula bersiaran pada 1977 sebagai sebuah rancangan tempatan terbitan BBC.

Sebelum Clarkson menjadi hos pada 27 Oktober 1988, Top Gear merupakan sebuah rancangan yang membosankan. Kehadiran Clarkson berjaya melonjak reputasi rancangan itu sehingga ia menjadi sebuah rancangan TV berdasarkan fakta yang paling popular di dunia.

BBC akan meneruskan penerbitan Top Gear yang mempunyai 350 juta penonton di seluruh dunia tanpa Clarkson. Saluran YouTube Top Gear juga mempunyai 4.3 juta pengikut.

Sehingga kini belum ada pengumuman rasmi mengenai nasib James May dan Richard Hammond, sama ada akan terus menjadi hos dalam rancangan itu ataupun tidak.

Hammond hanya meluahkan rasa kecewanya di Twitter sementara May mengemas kini profil akaun Twitter sebagai seorang bekas penyampai televisyen.