Jabatan Kerja Raya (JKR) hari ini memaklumkan berita yang tersebar di media sosial mengenai kononnya Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu, Kelantan telah tergelincir daripada tiang asal adalah tidak benar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, JKR memaklumkan telah melakukan penyiasatan dan hasil pemeriksaan didapati tiada sebarang gelinciran berlaku pada Jambatan tersebut.

JKR turut memberitahu bahawa bahagian crosshead tiang sambut yang dimaksudkan sememangnya dibina lebih lebar daripada yang lain dan direkabentuk tanpa Pile Cap dengan cerucuk dipanjangkan hingga ke Pier Head.

Ini bertujuan untuk meminimumkan masalah hakisan di Sungai Kelantan.

Rekabentuk ini menyebabkan berlaku pergerakan lebih besar di antara lantai jambatan (deck slab) apabila terkena hentakan yang mana ia tidak membahayakan, malah lebih kukuh daripada biasa dengan penambahbaikan rekabentuk cerucuk jambatan tersebut.

Justeru JKR berpedapat tiada isu gelinciran yang berlaku terhadap jambatan berkenaan.

Bagaimanapun, kumpulan pakar JKR Malaysia dan JKR Kelantan akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan jambatan berada dalam keadaan baik dan selamat.