Skip to main content

Malaysia

GSF 2.0: Razman pulang kemudian, paru-paru bocor akibat ditumbuk tentera Israel - SNCC

Sumud Nusantara
Pasukan perundangan bagi misi ini turut dihantar ke hospital bagi mengambil rakaman keterangan daripada Razman untuk dijadikan bahan bukti dalam tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Israel. - Gambar Bernama

SEPANG: Salah seorang aktivis Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Razman Mat Ali tidak dibenar untuk pulang ke tanah air buat masa ini kerana mengalami ‘traumatic pneumothorax’ atau paru-paru bocor selepas dilayan secara kasar termasuk ditumbuk oleh tentera Israel ketika berada dalam tahanan.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim berkata, doktor memaklumkan tekanan udara dalam penerbangan boleh menyebabkan keadaan Razman menjadi lebih kritikal dan berisiko membawa maut.

“Beliau tidak boleh terbang kerana tekanan dalam kapal terbang boleh menyebabkan kecederaan beliau bertambah buruk dan doktor memaklumkan ia boleh menyebabkan kematian, beliau dijangka boleh pulang kira-kira 21 hari lagi,” katanya.

Sani berkata demikian ketika berucap selepas menyambut kepulangan 28 aktivis GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, malam tadi.

Tambah beliau, Razman turut berada dalam keadaan berisiko tinggi mendapat jangkitan susulan kecederaan dialami, selain baru selesai menjalani pembedahan.

Menurutnya, pasukan perundangan bagi misi ini turut dihantar ke hospital bagi mengambil rakaman keterangan daripada Razman untuk dijadikan bahan bukti dalam tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Israel.

“Beliau sedang dirawat selepas pembedahan apabila dua wakil pasukan peguam dihantar untuk mengambil rakaman bukti,” ujarnya.

Sani Araby menegaskan, kecederaan dialami Razman itu bukan kes terpencil kerana semua delegasi didakwa berdepan layanan kasar dan penderaan fizikal sepanjang ditahan.

Katanya, kerajaan Turkiye turut memberi jaminan akan menjaga Razman sepanjang menerima rawatan di Istanbul, selain wakil dari pihak Malaysia yang menemami mangsa.

Must Watch Video

Advertisement