BUKIT MERTAJAM: Kementerian Kewangan (MoF) menerima 10,000 maklum balas daripada orang ramai melalui portal Cadangan Belanjawan 2024 dan ia di peringkat terakhir untuk dimasukkan ke dalam belanjawan itu yang dijadual dibentangkan pada 13 Okt.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata manakala sesi libat urus yang dijalankan secara bersemuka pula mendapat penyertaan lebih 8,000 orang di seluruh negara melibatkan pelbagai pihak termasuk peringkat negeri, sektor dan kementerian.

"Kami (MoF) telah selesai majlis libat urus di seluruh negara dan menerima pelbagai maklum balas termasuk di portal iaitu 10,000, semuanya akan dirumuskan dan dipertimbangkan untuk masuk dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan tidak sampai sebulan lagi.

"Semua maklum balas itu juga di tahap penilaian dan kami akan ambil balik (maklum balas) untuk analisa seterusnya buat rumusan dan sekarang ini ia peringkat terakhir persiapan belanjawan tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam ditemui di Program Jualan Rahmah Parlimen Bukit Mertajam, di perkarangan pusat khidmatnya di sini hari ini.

Belanjawan 2024 dijangka terus memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat, bantuan diteruskan serta ditambah baik, begitu juga pembangunan prasarana negara.

Sementara itu, Steven berkata beberapa kementerian terlibat sedang memantau dan membuat analisis berhubung Program Jualan Rahmah yang telah dijalankan di seluruh negara bagi melihat keperluan menambah peruntukan subsidi pada tahun hadapan.

Katanya sebarang keputusan berhubung peruntukan itu akan dibuat berdasarkan kesan dan impak kepada rakyat dan peruntukannya diumumkan pada Belanjawan 2024 nanti.

"Sepanjang tahun ini sebanyak RM66 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai subsidi termasuk minyak, telur, ayam dan sebagainya malah bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup, kerajaan tambah lagi RM150 juta untuk Program Jualan Rahmah.

"Ia bagi membantu jualan harga barang-barang keperluan 10 hingga 30 peratus lebih murah, kerajaan juga bagi RM8 bilion sumbangan tunai Rahmah, ini semua untuk kurangkan beban rakyat untuk jangka masa pendek kerana ekonomi global tidak begitu baik sekarang ini," katanya.

Beliau berkata menerusi Program Jualan Rahmah hari ini, sebanyak 22 jenis barangan keperluan antaranya beras, gula, tepung, telur dan minyak dijual bermula 8 pagi dan telah mendapat sambutan yang baik dengan lebih 2,000 pengunjung hadir membeli barang dengan harga 10 hingga 30 peratus lebih murah.

-- BERNAMA