Malaysia rekod 198,992 kematian pada 2024, pemyakit jantung iskemia kekal punca utama

Mohd Uzir berkata penyakit jantung iskemia juga menjadi sebab utama kematian bagi etnik Melayu dan etnik India masing-masing merekodkan 10,291 kematian (13.9 peratus) dan 2,161 kematian (17.6 peratus) pada 2024. - Gambar hiasan/pixabay.com
PUTRAJAYA: Penyakit jantung iskemia terus menjadi sebab utama kematian di Malaysia pada 2024 yang merekodkan 17,421 kematian atau 13 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan, menurut Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2025 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.
Ringkasan AI
- Penyakit jantung iskemia adalah sebab utama kematian di Malaysia pada 2024, mencatatkan 17,421 kematian atau 13 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.
- Kematian akibat neoplasma (kanser) meningkat sejak 2001, mencatatkan 19,180 kematian pada 2024, dengan neoplasma malignan organ pencernaan sebagai penyebab kematian tertinggi.
- Amalan gaya hidup tidak sihat menjadi faktor utama penyebab kematian seperti penyakit jantung iskemia, diabetes melitus, dan kegagalan buah pinggang di Malaysia.
"Sebanyak 12,112 kematian lelaki (15.3 peratus) disebabkan oleh penyakit jantung iskemia, manakala sebab kematian utama bagi perempuan ialah pneumonia, iaitu 6,776 (12.4 peratus)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Uzir berkata penyakit jantung iskemia juga menjadi sebab utama kematian bagi etnik Melayu dan etnik India masing-masing merekodkan 10,291 kematian (13.9 peratus) dan 2,161 kematian (17.6 peratus) pada 2024.
Sementara itu, etnik Cina dan Bumiputera Lain masing-masing merekodkan pneumonia sebagai sebab utama kematian, iaitu 4,231 kematian (12.7 peratus) dan 1,016 kematian (9.7 peratus).
Beliau berkata selain itu, pneumonia mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini, dengan 15,332 kematian atau 11.5 peratus, diikuti diabetes mellitus (6,929 kematian; 5.2 peratus) dan kemalangan kenderaan (4,428 kematian; 3.3 peratus).
Sementara itu, statistik juga menunjukkan kematian akibat neoplasma (kanser) meningkat sejak 2001 daripada 5,231 kematian kepada 19,180 kematian pada 2024.
Neoplasma malignan organ pencernaan merekodkan kematian tertinggi berbanding kanser lain, iaitu 5,825 kematian, diikuti oleh neoplasma malignan middle ear, sistem pernafasan atau organ intratoraks (2,987 kematian) dan neoplasma malignan of breast (2,173 kematian).
"Kematian disebabkan penyakit jantung iskemia dipengaruhi terutamanya oleh amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan yang tidak sihat. Ini disokong oleh kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu berlaku apabila saluran darah menjadi keras dan sempit disebabkan oleh plak kolesterol.
Beliau berkata kematian akibat pneumonia adalah disumbangkan oleh kesan pascapandemik, iaitujangkitan paru-paru dalam komuniti terutama bagi individu yang mempunyai sistem imun lemah dan masalah kesihatan sedia ada.
Selain itu, beberapa penyakit tidak berjangkit lain seperti diabetes melitus dan kegagalan buah pinggang turut disebabkan oleh amalan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat
Mengikut kumpulan umur, Mohd Uzir berkata pneumonia merupakan punca utama kematian dalam kalangan mereka berumur 60 tahun dan ke atas dengan merekodkan 11,989 kematian atau 13.9 peratus, serta dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga 14 tahun, dengan 244 kematian atau 5.6 peratus.
Sementara itu, kemalangan pengangkutan menjadi punca utama kematian dalam kalangan individu berumur 15 hingga 40 tahun dengan 2,547 kematian (20.0 peratus), manakala penyakit jantung iskemia penyebab utama membabitkan mereka berumur 41 hingga 59 tahun, dengan 5,380 kematian (17.6 peratus).
Untuk peringkat negeri, Mohd Uzir berkata 13 negeri merekodkan penyakit jantung iskemia sebagai punca utama kematian, manakala Perak, Sabah dan Sarawak merekodkan pneumonia sebagai punca utama.
"Selangor merekodkan jumlah kematian tertinggi akibat penyakit jantung iskemia, iaitu 3,038 kematian, diikuti Johor dengan 2,620 kematian dan Kedah dengan 2,349 kematian," katanya.
Pada peringkat antarabangsa pula, Mohd Uzir berkata penyakit jantung merupakan punca utama kematian di Amerika Syarikat dan Australia pada 2023, manakala kanser penyebab utama di Jepun, Korea Selatan, Kanada dan Singapura, sambil menambah United Kingdom merekodkan demensia dan penyakit Alzheimer sebagai punca utama kematian pada tahun yang sama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


