KUALA LUMPUR: Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026 yang menghimpunkan kira-kira 1,400 syarikat antarabangsa dari lebih 60 negara, akan berlangsung bermula esok hingga Khamis ini.
Pameran dwitahunan edisi ke-19 itu, yang mempamerkan teknologi dan aset peperangan elektronik tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara dan laut, diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
Advertisement
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah turut dijadual berangkat ke pameran berkenaan dan berkenan menyampaikan ucaptama di Forum Putrajaya yang bertemakan ASEAN Security in the Age of Emerging Technologies.
DSA dan NatSec Asia 2026 yang menggabungkan dimensi pertahanan konvensional, teknologi dan aset peperangan elektronik serta keselamatan dalaman itu, turut menjadi medan untuk memperkukuh hubungan antara negara melalui mesyuarat, forum dan sesi dialog strategik.
Pengarah Eksekutif DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd Nadzeem Abdul Rahman berkata sebagai penganjur, pihaknya kekal optimis dalam mengurus situasi global yang dinamik serta tidak menentu, berbekalkan pengalaman hampir empat dekad mengendalikan acara berkenaan.
“Kami telah melalui pelbagai cabaran global sebelum ini, termasuk ketika pandemik COVID-19 dengan DSA dan NatSec tetap berjaya dilaksanakan dan menerima kehadiran pelawat serta penyertaan industri yang memberangsangkan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Antara syarikat antarabangsa yang telah mengesahkan penyertaan adalah dari Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat (AS), Itali, Perancis, Korea Selatan, India, Kazakhstan, Indonesia dan Singapura.
Syarikat pertahanan utama yang telah mengesahkan penyertaan ialah DEFTECH, ASELSAN, Turkish Aerospace Industries Inc., MILKOR, FNSS Savunma Sistemleri, Team Defence Australia, Airbus Group, BrahMos, Beretta Defense Technologies (BDT), Weststar Defence Industries dan Matra BAE Dynamics Alenia (MBDA).
Turut menyertai pameran itu ialah syarikat Mindmatics, Hyundai WIA Corp, Kongsberg, ATLA Japan MOD, LIG Nex1, Glenair Inc, Fincantieri, Nurol Makina, HAVELSAN, CANiK Arms, FN Herstal dan Naval Group.
DSA dan NatSec Asia 2026 yang menjadi platform terbaik bagi pertukaran maklumat berhubung peralatan pertahanan berteknologi tinggi dari pelbagai negara, dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pelawat dari lebih 114 negara.
Pameran berkenaan terbuka hanya kepada pegawai kerajaan dalam bidang pertahanan dan keselamatan, profesional dan eksekutif industri pertahanan serta keselamatan, anggota tentera, polis, pasukan yang berkaitan serta tetamu jemputan khas.
-- BERNAMA