Skip to main content

Malaysia

Literasi AI, BRICS antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengintegrasikan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam silibus sekolah, penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS serta status penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI antara perkara yang dijangka menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini. - Gambar fail/ Bernama
Perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengintegrasikan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam silibus sekolah, penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS serta status penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI antara perkara yang dijangka menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini. - Gambar fail/ Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengintegrasikan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam silibus sekolah, penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS serta status penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI antara perkara yang dijangka menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) meminta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan KPM mengintegrasikan literasi AI dalam silibus sekolah menerusi Panduan Literasi AI.

Selepas sesi berkenaan, persidangan diteruskan dengan sesi soal jawab apabila Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) meminta Menteri Luar menjelaskan matlamat penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS serta nilai tambah yang diperoleh berbanding kerjasama dua hala dengan negara anggota blok itu.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pula meminta Menteri Digital menyatakan status penggubalan RUU Tadbir Urus AI, termasuk jangkaan pembentangannya di Dewan Rakyat serta perlindungan di bawah undang-undang sedia ada terhadap mangsa penipuan.

Turut dijadual dibangkitkan ialah isu rakyat Malaysia yang terbabit dalam kesalahan berkaitan dadah di luar negara apabila Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) meminta Menteri Luar menyatakan jumlah rakyat Malaysia yang ditahan atau didakwa atas kesalahan itu dalam tempoh lima tahun lepas.

Doris Sophia turut ingin mengetahui keberkesanan teknologi pengimbasan di lapangan terbang dalam mengesan dadah serta tahap keselamatan semasa.

Sementara itu, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan statistik pulangan ekonomi daripada penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA), selain manfaatnya kepada pemain sektor pertanian berskala kecil.

Persidangan hari ini turut dijadual meneruskan sesi jawapan menteri bagi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat dasar, melibatkan beberapa kementerian antaranya Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Komunikasi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Ekonomi, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kewangan.

Sesi jawapan menteri di peringkat dasar dijadual berakhir hari ini sebelum Dewan Rakyat meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat Jawatankuasa mulai Isnin depan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement