Skip to main content

Bisnes

Aeroangkasa: Kemudahan baharu IVP pemangkin Malaysia sebagai hab MRO serantau

ivp, aeroangkasa
Amirudin (tiga dari kiri) bersama Abdul Ofar (dua dari kiri) semasa majlis perasmian Kompleks IVP di Subang, pada Isnin.

SUBANG: Pembukaan kemudahan aeroangkasa baharu oleh Impeccable Vintage Properties Sdn. Bhd. (IVP) di Kompleks IVP, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, dilihat sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) serantau.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembangunan berkenaan bukan sahaja mengukuhkan peranan Subang sebagai koridor aeroangkasa strategik, malah berpotensi menarik pelaburan langsung asing (FDI) serta memperluas ekosistem industri berteknologi tinggi.

Advertisement

Kata Amirudin, kemudahan itu menandakan langkah strategik dalam mempercepat pertumbuhan industri aeroangkasa negara, selari dengan aspirasi di bawah Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia 2030 untuk menjadikan Malaysia peneraju MRO di Asia Tenggara.

"Di Selangor, subsektor aeroangkasa merupakan nadi utama ekonomi, merangkumi bidang pembuatan dan perkhidmatan. Secara keseluruhan, kedua-dua sektor ini menyumbang lebih 60% daripada kekuatan ekonomi negeri, dengan nilai sumbangan mencecah RM430 bilion setakat tahun 2024.

“Projek ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri melalui penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, selain membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan tempatan untuk menyertai rantaian bekalan global,” katanya pada majlis perasmian, pada Isnin.

Turut hadir EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han serta Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah, Datuk Hisham Hamdan bersama wakil industri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IVP, Abdul Ofar Musa berkata Kompleks IVP dibangunkan bagi menyediakan ekosistem penerbangan bersepadu yang membolehkan kerjasama strategik antara pemain industri tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata kemudahan itu dilengkapi hangar pesawat yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines Berhad Engineering Services dan Base Maintenance Malaysia, selain pusat penyelenggaraan enjin oleh GE Aerospace Engine Services Malaysia yang berfungsi sebagai pusat kecemerlangan enjin LEAP.

"Jika dilihat pada landskap industri masa kini, sektor aeroangkasa dan penerbangan banyak tertumpu di Singapura. Justeru, kita mahu mengorak langkah agar Malaysia mampu bersaing dengan pemain industri global, sekali gus meletakkan negara sebagai hab penerbangan utama di peringkat Asia dan dunia.

“Gabungan kemudahan ini meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih kompetitif dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan MRO,” katanya.

Selain itu, kompleks berkenaan turut menempatkan kemudahan ruang enjin darat (EGR) khusus bagi ujian enjin termasuk pesawat berbadan lebar, yang pertama seumpamanya di Subang.

Kerja pengubahsuaian lanjut dijangka siap menjelang akhir 2026, termasuk pemasangan sistem pintu hangar dan tele-platform, diikuti pembangunan bengkel komponen serta kemudahan penyimpanan.

Dalam masa sama, IVP menekankan elemen kelestarian dalam pembangunan projek itu melalui penggunaan sistem cekap tenaga, pengurusan air yang dipertingkatkan serta langkah mitigasi banjir, sejajar dengan amalan pembangunan bertanggungjawab.

Must Watch Video