Skip to main content

Malaysia

MH8110 mendarat di Oman, semua jemaah selamat - Tabung Haji

TABUNG HAJI
Pihak AMAL by Malaysia Airlines akan membuat penilaian ke atas pesawat sebelum membuat keputusan selanjutnya tentang penerbangan, jelas pihak Tabung Haji.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) memaklumkan bahawa penerbangan KT051 (MH8110) telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mendarat di lapangan terbang Muscat, Oman pada 4.11 petang waktu tempatan berikutan isu teknikal pesawat. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semua 278 jemaah haji di dalam pesawat berkenaan berada dalam keadaan selamat dan pihak keluarga mereka tidak perlu risau. 

Advertisement

Pada Isnin (4 Mei) sekitar jam 2.06 petang waktu Malaysia, KT051 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dijadualkan tiba di Jeddah sekitar 5.50 petang pada hari yang sama. 

"Pihak AMAL by Malaysia Airlines akan membuat penilaian ke atas pesawat sebelum membuat keputusan selanjutnya tentang penerbangan," tambah kenyataan itu lagi.

Pihak Tabung Haji menjelaskan, semua jemaah akan menginap di hotel sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah, dan sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. 

Dalam perkembangan berkaitan, pihak AMAL by Malaysia Airlines memberitahu akan menerbangkan jemaah KT051 ke Jeddah. 

"Penerbangan KT051 yang mendarat di lapangan terbang Muscat, Oman pada 4.11 petang waktu tempatan, dijadualkan akan berlepas ke Jeddah pada 6 Mei 2026, pukul 3 pagi waktu Oman dengan menaiki pesawat alternatif," ujar wakil AMAL.

Tabung Haji dalam satu kenyataan turut memaklumkan, penerbangan itu dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada jam 5.10 pagi (waktu Arab Saudi), hari yang sama.

Semua 278 jemaah haji yang terlibat telah diberikan makanan dan minuman sebelum dibawa ke hotel penginapan untuk berehat sementara menunggu waktu pelepasan.

Petugas daripada pihak AMAL by Malaysia Airlines telah ditugaskan untuk berada di lapangan terbang berkenaan segera bagi memantau keadaan semasa dan memastikan kebajikan jemaah terjaga. 

Must Watch Video