AgroBank dilihat menjadi pemangkin kepada industri agro-pelancongan di daerah Bario apabila ia memulakan perkhidmatan Ejen Perbankan AgroBank.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata selain menyediakan perkhidmatan transaksi kewangan, AgroBank juga akan menyediakan pembiayaan kewangan kepada pengusaha-pengusaha pertanian dan penternakan di kawasan ini.

"Itu (pembiayaan kewangan) secara semula jadi akan berkembang di situ (Bario) kerana apabila ingin dikembangkan sesuatu perusahaan itu, sudah tentu asas yang berkaitan dengan kewangan atau pembiyaan kewangan.

"Ini kerana tanpa pembiayaan kewangan, perkembangan sesuatu perniagaan tidak dapat berkembang dengan meluas. Jadi AgroBank seharusnya menjadi pemangkin bukan hanya berkaitan pertanian tetapi industri yang berkaitan dengan pertanian dapat dikembangkan," katanya ketika merasmikan Ejen Perbankan AgroBank di sini hari ini.

Mengambil contoh di Bario, Ahmad Shabery berkata pengusaha homestay atau rumah penginapan boleh mendapatkan nasihat serta pinjaman kewangan menerusi AgroBank dalam usaha menaiktaraf perkhidmatan sekaligus menggalakkan sektor pelancongan di daerah kecil itu.

Pada masa sama, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan sekaligus menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dalam menggalakkan sektor agro-pelancongan di sini.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Pelancongan secepat mungkin untuk memberi pandangan-pandangan berkenaan bagaimana Bario dapat dikembangkan daripada produk pelancongan.

"Sebelum ini sudah ada tetapi bagaimana untuk ditingkatkan lagi untuk menjadikan Bario sebagai produk pelancongan yang lebih menarik contohnya menaik taraf kemudahan-kemudahan di tempat-tempat penginapan kerana mereka yang mengendalikan tempat penginapan mengendalikannya dengan cara yang begitu sederhana sekali tetapi penginapan itu merupakan salah satu aspek yang sangat penting.

"Kemudiannya bagaimana untuk melatih orang di sini untuk mengendalikan pelancong seperti menjadi pemandu pelancong selain mengenalpasti laluan trackking untuk mempelbagaikan industri pelancongan di sini," katanya.

Justeru, beliau berharap golongan muda memainkan peranan penting dalam mempergiatkan lagi sektor agro-pelacongan yang sedia ada termasuk beras Bario dan garam bukit.