Skip to main content

Malaysia

Imigresen tahan 46,426 pendatang asing menerusi 12,471 operasi sejak Januari

Operasi itu turut membabitkan pemeriksaan terhadap 161,748 individu, selain tindakan diambil terhadap lebih 2,000 majikan yang melanggar undang-undang. - Gambar fail/Bernama
Operasi itu turut membabitkan pemeriksaan terhadap 161,748 individu, selain tindakan diambil terhadap lebih 2,000 majikan yang melanggar undang-undang. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KLANG: Sebanyak 46,426 pendatang asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen sepanjang 12,471 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara sejak Januari hingga hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Datuk Lokman Effendi Ramli berkata operasi itu turut membabitkan pemeriksaan terhadap 161,748 individu, selain tindakan diambil terhadap lebih 2,000 majikan yang melanggar undang-undang.

“Ini menunjukkan kami sangat serius dan lebih daripada 37 operasi dilaksanakan setiap hari. Tiada jam tanpa operasi dan kami tidak berkompromi dengan mana-mana warga asing yang melakukan kesalahan.

Advertisement

“Sebanyak 52,743 warga asing sudah diusir pulang ke negara asal,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Ops Sasar di sebuah kilang di Meru di sini pada Jumaat.

Lokman Effendi berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta pihak berkuasa tempatan.

Advertisement

Beliau berkata penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu kepada pekerja asing, malah turut menyasarkan pihak yang menjadi punca atau memudahkan berlakunya pelanggaran undang-undang imigresen.

Menurut Lokman Effendi, operasi akan diteruskan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Terdahulu, Lokman Effendi bersama Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM Datuk Basri Othman menyertai Ops Sasar di sebuah kilang memproses paku di Meru bermula pada 6 petang tadi, dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Beliau berkata 131 warga asing lelaki diperiksa dalam operasi itu, dengan 71 daripadanya ditahan membabitkan 51 warga Bangladesh, 19 warga Nepal dan seorang warga Taiwan atas kesalahan tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurut Lokman Effendi, pemeriksaan turut mendedahkan keadaan premis yang kotor dan tidak terurus, termasuk penempatan pekerja yang padat serta tidak mematuhi spesifikasi keselamatan manakala semua tahanan dibawa ke depoh tahanan JIM untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Lokman Effendi berkata sebanyak 1,702 warga asing daripada 34 kilang telah diperiksa di seluruh negara sejak Rabu lepas, dengan 519 orang ditahan serta 42 borang saman saksi dikeluarkan kepada majikan dan pemilik premis.

JTKSM turut menjalankan siasatan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta Akta Kerja 1955.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement