Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan sejumlah RM2.5 bilion bagi pembiayaan mikro pada tahun ini, dengan menyasarkan keseluruhan 400,000 orang Sahabat AIM (usahawan AIM) sehingga hujung tahun.

Pengerusinya Datuk Junaidah Kiting berkata sehingga hari ini, seramai 342,202 telah berdaftar sebagai Sahabat AIM dari seluruh negara termasuk 4,600 orang di Perlis.

"Setakat Julai lepas, RM1.6 bilion dana peruntukan telah dikeluarkan bagi membantu Sahabat AIM dengan penambahan keanggotaan kira-kira 50,000 orang.

"Peningkatan jumlah ini menunjukkan para wanita peka untuk meningkatkan pendapatan isi rumah mereka dan AIM sentiasa memberi manfaat kepada golongan B40 untuk keluar daripada garis kemiskinan," katanya kepada media selepas Majlis Bual Bicara Membangunkan Usahawan Wanita bersempena Fiesta Sahabat AIM di Auditorium Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar di sini, pada Sabtu.

Junaidah berkata fiesta ini bertujuan mengeratkan silaturrahim dalam kalangan usahawan AIM dan memberi peluang untuk mereka memperkenalkan produk dan perniagaan selain menjemput lebih ramai wanita untuk sama-sama menyertai AIM.

AIM yang ditubuhkan pada September 1987 menawarkan skim pembiayaan kredit mikro berpenyeliaan rapi kepada golongan miskin untuk mengusahakan sebarang kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran yang dimiliki sebagai usaha menambah pendapatan keluarga.

-- BERNAMA